Pulau Nami merupakan salah satu tarikan yang sangat terkenal bagi pelancong-pelancong ke Korea Selatan. Malah, lawatan ke Korea dirasakan tidak lengkap tanpa melawat pulau ini. Ia merupakan pulau yang terletak di tengah Sungai Han. Populariti Pulau Nami semakin meningkat semenjak penggambaran drama ‘Winter Sonata’ menggunakan Pulau Nami sebagai salah satu lokasi terpenting. Drama ini dikatakan menjadi titik permulaan demam Korean Wave yang melanda seluruh Asia dan seluruh dunia.
- Melawat Patung Winter Sonata
Pulau Nami sangat terkenal sebagai salah satu lokasi bagi penggambaran drama popular ‘Winter Sonata’. Beberapa babak ikonik di dalam drama tersebut berlatarkan Pulau Nami seperti babak ciuman pertama antara Joon-sang dan Yoo-jin. Ada dua lokasi yang boleh dilawat oleh para pengunjung iaitu Winter Sonata First Kiss dan juga patung Winter Sonata iaitu patung Joon-sang dan Yoo-jin. Pengunjung tidak boleh lepaskan peluang untuk bergambar dengan patung ikonik ini!
Credit: Aiena Zahira Daim on Flickr https://www.flickr.com/photos/aienazahiradaim/9712331329/
- Bergambar dengan Patung Puteri Duyung
Apabila anda tiba di Pulau Nami dengan feri, patung ini akan menyambut ketibaan anda. Apabila anda pulang, puteri duyung seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada para pengunjung Pulau Nami. Mungkin ada pengunjung yang tertanya-tanya, apa signifikan patung puteri duyung di Pulau Nami? Sebenarnya terdapat legenda di sebalik patung puteri duyung di Pulau Nami. Anda boleh bertanyakan pemandu pelancong untuk mengetahui lebih lanjut tentang legenda ini.
- Menaiki Bas Pelancong Elektrik Mengelilingi Pulau
Di Pulau Nami, terdapat perkhidmatan bas pelancong eletrik yang kecil untuk mereka yang ingin menikmati pulau ini dengan lebih selesa. Anda akan dibawa mengelilingi pulau tersebut dalam masa 20 minit sambil mendengar penjelasan pemandu yang membawa kumpulan kecil anda. Pemandangan sepanjang perjalanan akan memberi anda gambaran keseluruhan Pulau Nami sebelum anda berjalan-jalan di sekitar pulau.
- Berbasikal Mengelilingi Pulau
Berbasikal adalah antara aktiviti yang digemari oleh para pengunjung Pulau Nami samada pengunjung tempatan atau asing. Pengunjung boleh berbasikal secara romantik bersama pasangan atau bergembira bersama keluarga. Ada beberapa pilihan pakej yang disediakan dan harganya disertakan di bawah:
1 orang: ₩4,000 (30 minit) / ₩7,000 (1 jam)
2 orang : ₩8,000 (30 minit) / ₩14,000 (1 jam)
4 orang : ₩15,000 (30 minit)
Credit: Lady Havivi Joesman on Flickr https://www.flickr.com/photos/ladyhavivi/4836231029/in/photolist-8nmWZB
- Bergambar di Kawasan Pokok Maple
Keindahan warna daun-daun pokok maple memukau mata mereka yang memandangnya. Daunnya yang terang seakan-akan terapi bagi melegakan ketegangan minda. Berjalan menyelusuri pokok-pokok ini sudah cukup untuk membuatkan hati tenang. Ada beberapa tempat yang boleh dijadikan latar gambar yang menarik termasuk Taman Maple Baekpungmilwon, Jalan Maple dan Jalan Pohon Maple Cinta Sejati.
- Minum Kopi Panas Sambil Menikmati Pemandangan
Terdapat beberapa kafe yang menyajikan pelbagai minuman panas dan sejuk untuk para pengunjung. Antaranya ialah Nami Island Book Cafe, Kafe Swing, dan Kafe May. Bagi penggemar kopi, anda pasti tidak akan melepaskan peluang minum latte sambil menikmati pandangan Nami Island yang dipenuhi alam semulajadi. Masa seakan-akan terhenti dan anda berada di dunia sendiri. Nyaman!
Kredit: Mandy Jansen di Flickr https://www.flickr.com/photos/drh/3802153947/
- Berjalan kaki di Tepi Air
Di sekeliling Pulau Nami, telah disediakan ruangan yang sesuai untuk para pejalan kaki di sekeliling kawasan gigi air. Kawasan ini lebih sunyi dan tenang, sesuai untuk pasangan yang berbulan madu atau mereka yang gemar melayan perasaan. Cuba berjalan di sini, anda mungkin mendapat inspirasi untuk menghasilkan karya yang kreatif!
- Bergambar dengan Pokok-Pokok di Sekitar Pulau
Pulau Nami sememangnya terkenal dengan alam semulajadi yang luas mata memandang. Di mana-mana anda pergi, anda akan nampak kehijaun pokok, daun dan bunga yang berwarna-warni, atau mungkin juga salji memutih jika anda berkunjung pada waktu musim sejuk. Oleh itu, anda wajib bergambar dengan latar belakang yang indah ini sebagai kenangan dan bukti bahawa anda telah sampai ke Pulau Nami.
Dengan melakukan aktiviti-aktiviti di atas, kunjungan anda ke Pulau Nami boleh dikatakan telah lengkap!