Korea

Apa Yang Boleh Anda Lakukan di Taman Tema Everland, Korea Selatan

Anda sukakan pemandangan bunga yang berwarna-warni dan hiburan yang lengkap untuk seisi keluarga? Taman Tema Everland adalah pilihan yang tepat untuk dilawati. Ia terletak di Yeongin City, Gyeonggi-do. Banyak tarikan menarik di Everland yang akan membuatkan anda tidak cukup masa untuk melawat setiap tempat! Oleh itu, perancangan penting untuk memastikan anda menggunakan masa secara optimum. Risalah Everland boleh didapatkan di pusat informasi bagi merancang hari anda di Everland.

main.jpg

1. Menaiki Kereta Kabel dan Sky Way

Bukit-bukau di tapak Everland bermakna pengangkutan yang istimewa diperlukan untuk sampai ke sesetengah tempat. Sebaik masuk ke taman tema, pengunjung boleh terus ke kereta kabel yang disediakan. Dari dalam kereta kabel, pemandangan menyeluruh taman tema dengan warna-warni bunga akan membuatkan anda teruja. Sky Way pula cara pengangkutan bagi mereka yang lebih berani di mana kaki mereka akan terjuntai dan tempat duduknya lebih terbuka. Pasti pemandangan lebih hebat dengan cara ini! Kereta kabel boleh memuatkan sehingga lapan orang manakala Sky Way sesuai untuk empat orang. Mungkin sewaktu anda berada tinggi di udara, anda boleh mula merancang tempat yang akan dilawati.

1.jpg

2. Bergambar di Taman Bunga

Apabila anda tiba di taman bunga, anda akan rasa tidak sabar untuk mengeluarkan kamera anda. Memang sangat cantik, rugi jika ke sana tanpa bergambar! Gambar dengan latarbelakang taman bunga Everland wajib sebagai bukti anda telah sampai ke sana. Ada juga latarbelakang comel yang disediakan khas untuk pengunjung bergambar. Anda bebas meneroka taman bunga yang menyegarkan mata dan minda.  Ada beberapa festival bunga yang sering diadakan di sini seperti festival bunga tulip dan festival bunga ros. Penggemar bunga tulip dan bunga ros boleh menikmati kesegaran bunga-bunga ini dari bulan Mac hingga Jun. Jangan terlalu teruja sampai memetik bunga pula!

2.jpg

3. Menaiki Merry-Go-Round

Kanak-kanak kelihatan cukup seronok apabila dibawa menaiki Royal Jubilee Carousel di Everland. Bukan sahaja kanak-kanak, malah yang dewasa juga teruja menaikinya, mungkin mengimbau kenangan semasa kecil. Jangan risau, tarikan ini sesuai untuk semua peringkat umur.

3.jpg

4. Melawat Zoo Topia

Zoo Topia wajib dilawati kerana pengalaman unik di sini sukar didapati di tempat lain. Semasa beratur panjang untuk menaiki bas, pastikan kumpulan kecil anda dapat menaiki bas yang sama. Dari dalam bas, pengunjung dapat melihat dengan dekat perlakuan binatang-binatang liar seperti beruang, singa, dan singa putih. Walaupun sedikit takut kerana jarak yang sangat dekat, ia menambah perasaan teruja. Pemandu juga akan berhenti di mana-mana tempat sambil memberikan makanan kepada haiwan di luar bas.

4.jpg

5. Menaiki Roller Coaster

Untuk mereka yang sukakan sesuatu yang lebih thrill, pasti ingin mencuba roller-coaster. Ada beberapa pilihan seperti Rolling X-train, T Express dan Racing Coaster. Bagi setiap tarikan, tahap tinggi minima pengunjung telah ditentukan sebagai aspek keselamatan. Contohnya bagi T Express, tinggi minima yang dibenarkan bagi pengunjung ialah 130 cm. Pengunjung yang lebih cilik tidak dibenarkan menaiki roller coaster ini demi keselamatan. Racing coaster pula lebih sesuai untuk kanak-kanak iaitu mereka yang mempunyai ketinggian 100 cm ke atas. Pengunjung boleh memeriksa had ketinggian yang dibenarkan melalui risalah Everland.

5.jpg

Kredit: Jeremy Thompson di Flickr https://www.flickr.com/photos/rollercoasterphilosophy/5896025198/

6. Membeli Cenderahati

Tak lengkap rasanya bila ke taman tema tanpa membawa pulang cenderahati. Kedai cenderahati yang terdapat di merata-rata tempat di taman tema ini pasti menarik anda untuk membeli cenderahati sebagai kenang-kenangan. Anda juga boleh mendapatkan telinga binatang yang comel ini sebelum memulakan apa-apa aktiviti supaya dapat bergambar dengan pose menarik.

IMG_8469

7. Menonton Carnival

Carnival Fantasy Parade ialah parade yang dibuat setiap hari pada waktu tertentu. Bunyi dan warna-warni perarakan karnival akan membawa anda ke satu dunia lain. Gerak-geri penari dengan kostum yang pelbagai sungguh memukau. Anda mungkin terasa ingin ikut menari.

7.jpg

 Selain daripada aktiviti-aktiviti di atas, banyak lagi tarikan yang boleh anda lawati. Selamat meneroka!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: