Percutian self drive jarang diketahui oleh pelancong-pelancong yang biasa menggunakan pakej pelancongan. Mungkin ada yang berasa ragu-ragu untuk mencuba pakej ini. Jangan risau, berikut disertakan tips-tips yang akan membuatkan pelancongan anda berjalan dengan lebih lancar.
1. Pastikan Anda Mempunyai International Driving Permit (IDP)
Sesetengah negara mungkin tidak mewajibkan anda untuk mempunyai IDP tetapi untuk keselamatan, lebih baik sekiranya anda dapat memohon IDP. Boleh juga lakukan kajian untuk memastikan sama ada negara yang ingin dilawati memerlukan IDP atau tidak untuk memandu di sana. Jika anda rakyat Malaysia, anda boleh melakukan proses permohonan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sebelum memohon IDP, anda perlukan lesen memandu yang sah. Untuk maklumat yang lebih tepat, anda boleh ke laman web JPJ.
Kredit: Robfoto di Pixabay
2. Kaji Cara Pemanduan dan Peraturan Jalan Raya
Ada sesetengah negara di mana pemandunya memandu di sebelah kanan jalan dan tempat duduk pemandu pula di sebelah kiri. Mungkin anda perlu sedikit masa untuk membiasakan diri dengan keadaan ini. Jangan lupa untuk mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan! Sebaiknya anda dan penumpang menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan, bukan hanya cuba untuk sampai ke destinasi dengan lebih pantas. Sekiranya ditahan, cuba untuk bertenang dan jangan sesekali cuba untuk menghulurkan rasuah! Antara peraturan-peraturan umum ialah seperti memastikan jarak di antara kenderaan anda dan kenderaan hadapan selamat, mengetahui nombor kecemasan untuk dihubungi, dan tahu cara untuk menukar tayar sekiranya perlu.
Kredit: David Lofink di Flickr
3. Pilih Kenderaan yang Sesuai
Pemilihan kenderaan sangat penting untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pemandu serta penumpang. Sekiranya kumpulan anda besar, jangan pula memesan kereta yang kecil untuk berjimat. Penyesalan akan timbul apabila semua berasa tidak selesa. Bagi pasangan pula, tidak perlu menyewa kereta yang besar dan mahal. Keadaan jalan yang bakal dilalui juga memepengaruhi jenis kenderaan yang dipilih. Anda juga sepatutnya tahu sama ada kenderaan yang dipilih adalah versi automatik atau manual.
Kredit: Skitterphoto di Pixabay
4. Sediakan Bekalan Makanan Yang Mencukupi
Sepanjang perjalanan yang dilalui, rasa lapar dan dahaga tidak dapat dielakkan. Mungkin ada tempat rehat di sepanjang perjalanan, tetapi bagi menghadapi apa-apa kemungkinan, lebih baik bekalan makanan dan minuman dibawa bersama. Mengunyah kudap-kudapan sambil memandu juga dapat menghilangkan perasaan mengantuk bagi pemandu. Elakkan memandu semasa jet lag. Sediakan juga kopi dan minuman lain. Sandwich juga sesuai untuk dibawa di dalam perjalanan. Sekiranya anda menuju ke lokasi piknik, boleh juga sediakan makanan yang lebih berat seperti nasi. Tapi, pastikan lokasi piknik itu membenarkan makanan luar dibawa!
Kredit: Alpha di Flickr
5. Tahu Destinasi dan Cara Ke Sana
Anda perlu tahu ke mana tujuan anda sebelum memulakan perjalanan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Untuk lebih selamat, beritahu sesiapa tentang destinasi ini supaya ada yang tahu ke mana ingin anda tuju. Pastikan juga peta atau GPS berfungsi dengan baik sebelum memulakan perjalanan. Namun, jangan terlalu bergantung kepada GPS kerana ada kemungkinan ia akan berhenti berfungsi di sesetengah kawasan atau membawa anda ke jalan yang salah! Jika anda sesat, ini hanya akan merugikan masa percutian. Apa pun, pastikan anda mempunyai pelan yang kukuh dan bersedia untuk segala kemungkinan.
Kredit: stevepb di Pixabay
6. Sediakan Aktiviti Semasa Dalam Perjalanan
Bgai keluarga yang membawa anak-anak kecil, perjalanan akan menjadi lebih kompleks kerana mungkin anda perlu berhenti dengan lebih kerap ke tandas. Kanak-kanak juga cepat merasa bosan sekiranya tiada aktiviti yang dilakukan untuk jangka masa yang lama. Ibu bapa boleh menyediakan aktiviti yang sesuai untuk mereka seperti melukis, mewarna, menyelesaikan teka-teki minda dan sebagainya. Boleh juga berteka-teki dan menyanyi bersama mereka. Pada masa yang sama, aktiviti-aktiviti ini dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan. Bagi kanak-kanak yang boleh membaca di dalam kenderaan, boleh disediakan bahan bacaan yang sesuai seperti komik. Muat turun juga video yang menarik untuk ditonton di dalam kenderaan.
Kredit: Aaron_M di Flickr
Dengan mengikuti tips-tips di atas, anda akan lebih menikmati percutian self-drive tanpa rasa takut!