Tidak lengkap rasanya ke Jepun tanpa melawat Mount Fuji. Mount Fuji ialah gunung yang tertinggi di Jepun dengan ketinggian 3,776 meter dan terletak di Pulau Honshu. Gunung ini telah menjadi simbol ikonik Jepun seperti yang muncul di pelbagai karya-karya seni. Keistimewaannya di mata dunia membuatkan pengunjung sentiasa tertarik untuk ke Mount Fuji.
1. Melihat Matahari Terbit
Kebanyakan pelawat sedar bahawa peluang untuk melihat matahari terbit dari Mount Fuji tidak patut dilepaskan. Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan, menikmati pemandangan matahari terbit dari Mount Fuji di negara matahari terbit. Rakamkan saat ini dengan lensa kamera dan kongsikan di media sosial, pasti mendapat reaksi yang mengujakan!
Kredit: Naoya Fujii di Flickr
2. Destinasi yang Mesra-Muslim
Mungkin ada yang tidak tahu bahawa di Mount Fuji terdapat beberapa kemudahan yang menyenangkan para pengujung yang beragama Islam. Terdapat sebuah restoran halal terkenal di Kawaguchiko yang bernama Alladin Indo Restaurant yang menyajikan makanan India.
Nama Restoran: Alladin Indo
Alamat: 288-1 Funatsu, Fujikawaguchiko-machi, Minamitsuru-gun 401-0301, Yamanashi Prefecture
No Telefon: +81 555-72-6755
Selain itu, ada juga hotel mesra-Muslim yang dinamakan Syariah Hotel Fujisan di Fuji Kawaguchikomachi. Hotel ini ada menyediakan makanan halal dan ruang solat buat para pengunjung.
Nama Hotel: Syariah Hotel Fujisan
Alamat: 6713-1 Funatsu, Fujikawaguchiko-machi, Minamitsurugun, Yamanashi 401-0301
No Telefon: +81 0555-83-5588
Kredit: Fujisan Family
3. Dikelilingi Lima Tasik Mount Fuji yang Cantik
Tasik-tasik ini ialah Tasik Kawaguchiko, Tasik Motosuko, Tasik Shojiko, Tasik Yamanakako, dan Tasik Saiko. Pemandangan Mount Fuji dari kawasan tasik sememangnya menakjubkan. Tasik Kawaguchiko menyediakan kemudahan dan tarikan yang paling banyak untuk para pelawat seperti hotel, ryokan, muzium dan restoran. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di tasik ini termasuklah menaiki bot dan juga memancing.
Kredit: Guilhem Vellut di Flickr
4. Taman Tema Fuji-Q Highland
Siapa sangka, ada taman tema di Mount Fuji? Ya, anda boleh berseronok di taman tema ini bersama seluruh keluarga! Tema anime yang digunakan menambah keceriaan taman tema ini. Tarikan yang paling terkenal – pastilah roller coaster yang menjadi tumpuan ramai! Sambil bergembira di sini, anda masih dapat melihat kecantikan Mount Fuji yang tersergam indah.
Kredit: Olivier Bruchez di Flickr
Kredit: Jeremy Thompson di Flickr
5. Gunung yang Paling Banyak Didaki di Dunia
Pendakian pertama ke Mount Fuji yang diketahui dilakukan oleh seorang sami pada tahun 663. Semenjak itu, ramai telah mendaki gunung ini. Mount Fuji terkenal sebagai gunung yang paling banyak didaki di dunia iaitu seramai lebih kurang 300,000 pendaki setiap tahun. Musim mendaki ialah dari bulan Julai hingga Ogos, membuatkan keadaan lebih sesak pada waktu ini. Tempoh ini ditentukan mengikut cuaca dan suhu. Tempoh mendaki yang sangat pendek dan jumlah pendaki yang paling banyak di dunia, mengagumkan bukan?Kebanyakan pendaki ialah dari Jepun tetapi ramai juga dari Eropah dan Amerika. Tidak mungkin anda akan melepaskan peluang melawat gunung yang paling banyak didaki di dunia, kan?
Kredit: Sean H di Flickr
6. Mount Fuji ialah Gunung Berapi yang Aktif
Walaupun dikategorikan sebagai gunung berapi yang aktif, kemungkinan untuk letusan ialah rendah. Semenjak kurun ke 8, cuma terdapat 10 letusan yang telah dicatatkan. Letusan yang terakhir berlaku lebih kurang 300 tahun dahulu. Perasaan yang sukar digambarkan apabila melawat gunung berapi yang aktif. Tapi jangan risau, teknologi canggih yang ada dapat memberikan amaran kepada pengunjung. Kemungkinan untuk letusan berlaku dalam waktu terdekat juga adalah sangat kecil.
Kredit: Ron Reiring di Flickr
Keistimewaan Mount Fuji pasti menambah perasaan teruja untuk melawatnya!