Pelancong dari Malaysia umumnya tahu bahawa Bandung adalah destinasi membeli-belah yang terkenal. Apakah yang boleh anda dapatkan di sini? Nah, ini dia tempat-tempat yang terkenal untuk membeli-belah di Bandung serta barang-barang yang ada dijual.
1. Cibaduyut
Di Cibaduyut, anda boleh mendapatkan barangan kulit asli pada harga yang murah. Barangan kulit yang popular di sini ialah kasut wanita, kanak-kanak dan lelaki. Malah, tanda anda telah sampai ke kawasan ini ialah terdapat replika kasut wanita dan lelaki yang besar di persimpangan jalan. Bukan saja kasut, ada juga jaket kulit dijual di sini. Yang pasti, kualiti barangan kulitnya tidak dapat dipertikaikan lagi dan sememangnya dihasilkan di Bandung. Ada juga kulit asli yang dijual dalam bentuk yang belum diproses, sesuai untuk peniaga yang pandai mengolah bahan kulit ini menjadi barangan seperti dompet, tali pinggang, beg dan gelang tangan.
Kredit: Tarlen Handayani di Flickr
2. Toko Tiga
Kedai ini terkenal dalam kalangan pelancong Malaysia mahupun penduduk lokal sebagai tempat membeli jeans original dengan harga yang murah. Sudah tentu jeans berjenama seperti Levi’s harganya sangat mahal jika dibeli di kedai-kedai lain. Di sini, anda berpeluang membeli jeans berjenama dengan harga jauh dibawah harga pasaran! Rugi jika tidak memborong di sini. Ada juga pelbagai kemeja berjenama yang dijual di sini. Kedai ini biasanya dibuka dari jam 9 pagi hingga jam 9 malam.
Kredit: Scdha Sein di blogspot
3. Factory Outlet
Bandung juga mempunyai banyak pilihan factory outlet yang menjual pelbagai baju berjenama dengan gred yang berkualiti tinggi. Ada yang fokus menjual baju wanita, baju lelaki, dan ada juga yang menjual pakaian plus size. Harga yang murah pastinya akan menarik ramai orang ke sini, terutamanya pada waktu hujung minggu. Oleh itu, bersedia untuk beratur untuk mencuba pakaian dan membuat bayaran. Peruntukkan masa beberapa jam untuk membeli-belah. Dah sampai ke sini, rugi jika anda tidak memborong! Ada juga pakaian sejuk yang dijual di sini dengan harga yang murah. Mungkin boleh dibeli sebagai persediaan untuk percutian seterusnya ke Eropah?
Kredit: Wikimedia Commons
Kredit: Irwandy Mazwir di Flickr
Kredit: Aizat Rahim di Flickr
4. Pasar Baru
Pasar Baru menjual pelbagai barangan yang akan menarik minat wanita terutamanya. Ada telekung, kain pasang, kain ela, kain lace, baju kurung dan banyak lagi. Kain lace di sini dijual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga yang terdapat di butik-butik Malaysia. Malah, butik-butik di Malaysia biasanya mendapatkan bekalan kain lace di sini. Tidak hairanlah jika bakal pengantin sanggup ke Bandung semata-mata untuk membeli kain lace baju pengantin di sini. Walaupun harganya sudah murah, anda masih boleh menawar harga untuk mendapatkan harga yang lebih murah! Layanan yang diberikan cukup istimewa terutamanya sekiranya anda memborong pelbagai barangan, mungkin anda akan dihidangkan dengan teh botol. Barang-barang hantaran seperti telekung yang cantik boleh juga didapatkan di sini. Peminat baju kurung pasti sukar membuat pilihan kain pasang yang banyak terdapat di sini. Jangan lupa bawa duit banyak-banyak ye!
Kredit: Aizat Rahim di Flickr
Kredit: Ikhlasul Amal di Flickr
5. Kartika Sari
Kartika Sari ialah satu jenama yang sangat terkenal sebagai pakar dalam pembuatan kuih. Antara kuih yang wajib dibeli dan tidak terdapat di Malaysia ialah bollen yang mempunyai pelbagai perisa. Antara perisa yang dijual ialah kacang hijau, pisang, tapai, durian dan pisang coklat. Dijamin anda akan teringat-ingat akan bollen bila pulang ke Malaysia. Oleh itu, belilah beberapa kotak untuk dibawa pulang serta diberikan kepada saudara-mara dan sahabat-handai sebagai buah tangan. Kuih lain yang popular termasuklah pelbagai perisa lapis legit, cheese stick, brownies, kerepek tempe, dan banyak lagi. Pasti rambang mata memilih!
Kredit: Wikimedia Commons
Kredit: amrufm di Flickr
Oh ya, jangan lupa bawa bagasi kosong dari Malaysia, pasti banyak yang akan anda bawa pulang!