
Kota Yogyakarta memang sudah tidak asing lagi di kalangan pelancong dari Malaysia. Kotanya yang terletak di Kepulauan Jawa sangat kaya dengan keindahan semula jadi yang sangat memukau.
Berikut kami kongsikan itineraries ringkas untuk panduan anda yang ingin berkunjung ke sana:
Hari Pertama
1. Kalibiru National Park

Berlatar belakangkan Bukit Menoreh, tempat ini memang sangat sesuai untuk anda yang suka bergambar. Pelbagai spot foto yang unik disediakan untuk pengunjung yang datang. Kemudahan chalet dan rumah rehat turut disediakan bagi kemudahan pelancong yang ingin bermalam.
2. Kedung Pedut

Nikmati keindahan air terjun Kedung Pedut yang tersembunyi di sebalik deretan pergunungan Menoreh. Anda perlu mendaki 10 hingga ke 15 minit sebelum sampai ke kawasan air terjun ini. Kelelahan anda pasti terubat dengan bunyi unggas hutan dan pemandangan air terjun yang memukau
3. Pasar Malioborro

Tidak sah kunjungan anda jika tidak singgah di Pasar Malioborro. Di sini pelbagai barangan cenderahati yang dapat anda beli dengan harga yang berpatutan.
4. Alun-Alun Kidul

Malam masih muda, ayuh kita ke Alun-alun Kidul! Antara aktiviti santai yang boleh anda lakukan di sini adalah menaiki beca ataupun odong-odong. Ini bukan beca biasa-biasa tau, sebab anda boleh merasai sendiri pengalaman mengayuh beca-beca unik yang di hiasi dengan aneka lampu yang sangat menarik.
Hari Kedua
1. Punthuk Setumbu

Turut dikenali dengan nama Borobudur Nirwana Sunrise, Punthuk Setumbu merupakan lokasi paling ideal untuk menyaksikan Candi Borobudur berlatar belakangkan matahari terbit, Gunung Merapi dan Gunung Merbabu. Menurut penduduk tempatan, bulan yang berbeza menawarkan pemandangan matahari terbit yang berbeza.
2. Bukit Rhema

Jika anda peminat tegar filem Ada Apa Dengan Cinta II, anda memang wajib ke sini. Bukit Rhema yang sangat terkenal dengan Gereja Ayam yang juga merupakan salah satu lokasi perfileman Ada Apa Dengan Cinta II.
3. Candi Borobuddur

Nikmati embun pagi di Borobudur sambil melihat matahari terbit dari ufuk timur. Jika tidak berkesempatan, anda boleh juga singgah ke sini untuk melihat pemandangan yang memukau ketika matahari terbenam.
4. Gunung Merapi

Mengembara ke kaki Gunung Merapi dengan pacuan empat roda sambil menyusuri sisa-sisa penginggalan penduduk tempatan yang musnah sewaktu letusan Gunung Merapi. Jika cuaca mengizinkan singgah sebentar di Bunker Kali Adem untuk melihat pemandangan Gunung Merapi dengan lebih dekat dan pastikan juga bateri kamera anda cukup untuk bergambar bersama Batu Alien.
Hari Ketiga
1. Istana Air Taman Sari

Istana air peninggalan kerajaan Jawa ini merupakan tempat pemandian Puteri Raja dan Permaisuri pada zaman dahulu. Melangkah masuk ke dalam istana ini pasti membuatkan anda merasa kagum akan keindahan senibinanya yang unik.
2. Sumur Gumuling / Masjid Bawah Tanah

Disebalik pesona Taman Sari tersembunyi sebuah masjid bawah tanah yang juga dikenali sebagai Sumur Gumuling. Masjid ini hanya boleh diakses dengan melewati lorong rahsia yang direka bagi mengaburi penjajah Belanda satu ketika dulu.
3. Jalan Kaliurang

Sebelum pulang ke Malaysia, singgah dahulu di Jalan Kaliurang. Jalan Kaliurang ini merupakan syurga bagi peminat barangan outdoor. Pelbagai jenama tempatan boleh diperolehi di sini dengan harga yang sangat menarik.