Ada orang yang memikirkan bahawa hobi melancong atau mengembara harus dilupakan buat sementara waktu jika ingin membina keluarga. Tidak semestinya! Anda masih boleh mengembara dengan anak-anak kecil jika anda pandai menguruskan pengembaraan. Baca tips dibawah untuk memudahkan anda.
1. Bawa Ubat-ubatan
Kita tidak mungkin dapat jangka bila anak-anak akan jatuh sakit. Tentu susah sekiranya jatuh sakit di luar negara terutamanya. Lebih senang sekiranya ibu bapa membawa bekalan ubat-ubatan yang asas seperti ubat sakit perut, cirit-birit, sakit gigi, demam dan selsema. Bawa juga sedikit bekalan untuk luka-luka yang tidak dijangka seperti plaster dan antiseptik. Dengan tersedianya bekalan ini, minda akan lebih tenang dan anak-anak lebih terjaga.
Kredit: taylormackenzie di Flickr
2. Sediakan Permainan
Ingat bahawa pengembaraan kadangkala melibatkan perjalanan yang agak panjang. Mungkin durasi penerbangan adalah melebihi tiga jam. Dalam keadaan seperti ini, ibu bapa hendaklah bersedia dengan membawa permainan kegemaran anak-anak seperti anak patung, permainan elektronik, atau buku kegemaran. Yang penting, pastikan anak anda tidak bosan terlalu lama kerana ini mungkin akan membawa kepada situasi yang tidak diingini seperti amukan. Pilih permainan yang betul-betul menjadi kesukaannya dan jangan pula membawa terlalu banyak mainan!
Kredit: magnetic mary di Flickr
3. Elakkan Memberi Gula-gula
Mungkin ada sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa memberi gula-gula dapat menenangkan anak-anak. Namun, ada kemungkinan yang besar bahawa gula-gula yang dimakan akan menyebabkan kanak-kanak lebih aktif kerana tenaga berlebihan yang dibekalkan. Akhirnya, mereka akan menjadi lebih sukar untuk dikawal. Lebih baik berikan snek seperti biskut beras atau roti yang lebih sihat dan mengenyangkan. Anak-anak juga akan mempunyai mood yang lebih baik dan tenang.
Kredit: Rool Paap di Flickr
4. Letakkan Maklumat Penjaga Pada Anak-anak
Kita pasti tidak mahu anak-anak tersesat berseorangan namun kadangkala kita kena bersedia untuk kemungkinan buruk. Hanya sebagai langkah berjaga-jaga, sediakan maklumat anda seperti nama, alamat dan nombor telefon bimbit pada badan anak anda. Masukkan sebanyak mungkin maklumat ini dalam beg anak-anak, pada topinya dan malah, pada stokinnya juga! Ada servis yang membolehkan topi dan stokin disulam dengan apa-apa saja perkataan yang dikehendaki. Tampal juga beberapa stiker yang mempunyai maklumat anda pada beg anak-anak. Ini akan memudahkan sesiapa untuk menghubungi anda jika apa-apa berlaku. Walau bagaimanapun, sentiasa pastikan anak anda sentiasa di depan mata!
Kredit: Breibeest di Flickr
5. Sediakan Tisu Bayi
Bila-bila sahaja kemalangan mungkin berlaku jika anda sedang membesarkan anak kecil yang sedang aktif. Air tertumpah, makanan terkena baju, muka comot. Dengan tisu bayi, segalanya lebih mudah! Ambil sahaja dan lapkan tanpa perlu tercari-cari sumber air terdekat. Boleh juga digunakan semasa menukar lampin bayi. Pendek kata, tisu bayi ini benar-benar penyelamat yang setia. Jangan tertinggal ye!
Kredit: Your Best Digs di Flickr
6. Bawa Stroller Versi Travel
Stroller atau kereta sorong dijual dalam pelbagai rekabentuk. Ada yang lebih canggih dan mahal, ada yang besar sedikit, ada yang kecil, dan ada yang direka khas untuk digunakan semasa mengembara. Stroller seperti ini boleh dilipat kecil dan lebih ringan untuk diangkat ke mana-mana. Bagi yang gemar mengembara, tidak rugi sekiranya membeli stroller ini khas untuk pengembaraan anda. Seisi keluarga dapat berjalan dengan lebih tenang dan tidak penat.
7. Fokus Pada Destinasi yang Mesra Kanak-kanak
Bukan semua destinasi sesuai untuk dilawati oleh kanak-kanak kecil. Mungkin pengembaraan yang lebih mencabar seperti yang melibatkan banyak berjalan kaki atau sesi membeli-belah kurang sesuai untuk mereka yang masih kecil. Namun, tempat-tempat seperti taman tema Disneyland dan Everland sangat sesuai untuk kanak-kanak. Anda boleh meminta nasihat dari perunding tour anda untuk mendapatkan cadangan destinasi yang sesuai.
Terbukti anda masih boleh mengembara dan melancong walaupun mempunyai anak-anak kecil! Persediaan yang lebih rapi diperlukan namun ia tidak mustahil dan telah dilakukan oleh jutaan pengembara.
Salut buat anda, salam kenal saja. Saya rubi dari komunitas rumah sahabat malang mau menanyakan sesuatu pada anda, pernahkan anda mengikuti kegiatan bakti sosial yang di selenggarakan oleh teman teman anda…?
LikeLike