Mungkin anda berminat untuk ke Jepun tapi masih ragu-ragu, adakah lawatan ke Jepun pada musim sejuk berbaloi? Baca artikel di bawah untuk mengetahui tentang keistimewaan lawatan ke Jepun pada musim sejuk.
1. Keadaan Kurang Sesak
Jepun terkenal dengan kesesakan kota-kotanya seperti kota Tokyo dan kesesakan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong. Namun, pada musim sejuk, tarikan pelancong kurang menjadi tumpuan orang ramai. Oleh itu, jika anda ke sini, anda dapat menikmati kecantikan latarbelakang musim sejuk tanpa gangguan orang ramai. Waktu yang sempurna untuk bergambar! Persekitaran yang lebih sunyi mungkin mencetus inspirasi buat anda untuk berkarya. Malah, tidak perlu beratur panjang untuk membeli tiket-tiket masuk ke tempat-tempat ini.
Kredit: Patrick Vierthaler di Flickr
2. Sukan Musim Sejuk
Bagi yang meminati aktiviti lasak, inilah peluang untuk anda mencuba aktiviti sukan musim sejuk. Sukan musim sejuk terutamanya sukan ski sangat terkenal di Jepun dan terdapat banyak resort yang menawarkan sukan ini. Meluncur laju di atas salji mungkin memerlukan sedikit masa untuk mempelajarinya buat mereka yang pertama kali mencuba, tetapi sekali cuba pasti ingin cuba lagi! Siapa tahu, mungkin anda ada bakat terpendam.
Kredit: cotaro70s di Flickr
3. Festival Musim Sejuk
Jepun terkenal dengan pelbagai festival yang diadakan sepanjang tahun. Musim sejuk tidak terkecuali di mana festival-festival khas diadakan pada waktu ini. Pada musim salji, ada festival yang menghidangkan pertunjukan ukiran ais yang diukir dalam pelbagai bentuk seperti piramid, bangunan-bangunan bersejarah dan dinosaur. Antara festival-festival yang diadakan adalah seperti Otaru Snow Light Path Festival yang diadakan setiap Februari di Otaru dan juga Sapporo Snow Festival di kawasan berdekatan juga. Di festival ini, bandar dihiasi dengan cahaya lampu dan juga patung salji kecil selama sepuluh hari. Gabungan patung-patung salji ini dan cahaya mewujudkan suatu atmosfera tenang yang sukar digambarkan.
Kredit: David McKelvey di Flickr
4. Pertunjukan Cahaya
Pertunjukan cahaya sentiasa diadakan di Jepun terutamanya pada waktu musim sejuk yang digelar ‘Winter Illumination’. Lampu bergemerlapan pada musim sejuk di waktu malam menambah kepada suasana kemeriahan kota-kota di Jepun. Bagi pasangan-pasangan Jepun, waktu ini sesuai untuk berjalan-jalan dengan suasana yang romantik. Mungkin anda boleh berbulan madu di Jepun pada musim sejuk. Biasanya ‘Winter Illumination’ diadakan bermula dari bulan November hingga Disember namun ada juga yang berlarutan sehingga hari Valentine iaitu pada bulan Februari dan juga sehingga musim bunga! Antara tempat-tempat yang mengadakan acara lampu ini ialah seperti di Tokyo, Kanagawa, Sendai, Tochigi, Nagoya, Osaka, Kobe, dan Nagasaki.
Kredit: Taichiro Ueki di Flickr
Kredit: Hideya HAMANO di Flickr
Kredit: Ken Yamaguchi di Flickr
5. Berpeluang Melihat Mount Fuji
Mungkin anda tidak tahu, bukan mudah untuk melihat Mount Fuji pada bila-bila masa! Ia hanya akan muncul pada waktu-waktu tertentu dan cuaca yang sesuai kerana kabus yang tebal menyeliputinya. Namun, semasa musim sejuk, kemungkinan besar anda akan dapat melihatnya. Mount Fuji paling mudah dilihat antara bulan Oktober hingga bulan Februari. Pada musim panas antara bulan Jun hingga Ogos, memang agak sukar untuk melihat Mount Fuji. Waktu yang paling sesuai untuk melihatnya pula ialah pada awal pagi semasa suhu sangat sejuk. Pada musim sejuk juga, puncaknya diliputi salji tebal yang cantik!
Kredit: Hatoriz Kwansiripat di Flickr
6. Menikmati Kepanasan Kotatsu
Kotatsu ialah meja rendah yang dilapik dengan selimut tebal dan mempunyai alat pemanas tersendiri. Kaki diletakkan di bawah selimut ini dan rasai sistem pemanasan yang selesa pada musim sejuk. Ia memanaskan badan terutamanya pada bahagian kaki dan sekaligus memberikan sensasi yang suam. Pelancong mungkin bertuah untuk menikmati kepanasan kotatsu di tempat-tempat penginapan tradisional yang menyediakan alat ini. Gunakan kesempatan berada di negara Jepun pada musim sejuk untuk menggunakan alat unik ini kerana ia hanya mudah didapati di negara Jepun. Sambil menggunakan kotatsu, nikmati secangkir kopi panas dan semangkuk ramen yang panas sambil menonton televisyen, nyaman!
Kredit: Marieve Inoue di Flickr
Jangan ragu-ragu untuk memilih musim sejuk Jepun sebagai destinasi pilihan seterusnya!