Shanghai kota yang istimewa diselubungi sejarah yang cukup kaya. Pembangunan pesat yang telah berlaku dan masih berlaku di Shanghai melahirkan sebuah kota dinamik yang sentiasa berubah baik dari segi landskap juga dari segi budaya. Jom terokai apakah keistimewaan kota Shanghai yang bakal buat anda jatuh cinta dengannnya.
1. Warna-Warni Shanghai
Kota Shanghai dipenuhi warna-warni lampu bangunan pada waktu malam. Pemandangannya cukup mengagumkan! Ia kota yang hidup walaupun pada waktu tengah malam. Oleh itu, anda bebas meneroka kota ini walaupun pada waktu malam ditemani dengan cahaya lampu yang begemerlapan.

2. Senibina Tersendiri
Senibina yang terdapat di Shanghai pasti akan menambat hati mereka yang pernah melawat ke sana. Banyak bangunan di Shanghai yang turut dipengaruhi budaya barat kerana sejarah kota itu sendiri. Malah, ada juga bangunan yang mempunyai rekabentuk khusus seperti di Eropah. Shanghai juga lokasi terletaknya antara pencakar langit tertinggi di dunia! Selain itu, uniknya senibina Shanghai terletak pada gabungan antara elemen barat dan timur. Contohnya kewujudan rumah Shikumen yang menggabungkan kedua-dua elemen budaya cina dan barat.


3. Pertemuan Budaya Timur dan Barat
Sejarah Shanghai menghasilkan pertembungan dua budaya yang unik ini. Bagi rakyat Cina, Shanghai dilihat sebagai kota yang dipenuhi budaya Barat. Bagi pelawat dari negara lain pula, ia seperti sebuah kota moden yang kebaratan tapi masih mengekalkan ciri-ciri kebudayaan oriental. Jadi, pelawat dapat mengalami kedua-dua elemen budaya ini pada masa yang sama.

4. Kota Dipenuhi Kontras
Kota ini menyaksikan pertembungan banyak perkara yang berlawanan. Contohnya pertembungan di antara old Shanghai dan juga new Shanghai di mana bangunan pencakar langit boleh dilihat dari bangunan-bangunan lama. Bangunan moden berunsurkan barat juga boleh didapati dalam kawasan yang mempunyai bangunan yang lebih tradisional. Kontras ini menghasilkan pemandangan yang mengasyikkan buat pelawat. Malah, anda boleh mendapatkan makanan yang sangat mahal berharga sehingga ¥5000 dan boleh juga mendapatkan makanan semurah ¥10. Inilah yang membuatkan Shanghai cukup istimewa.

5. Dipenuhi Muzium
Ya, Shanghai mempunyai banyak pilihan muzium untuk dilawati. Ada muzium yang fokus kepada sejarah dan ada juga muzium yang lebih kepada seni. Bagi peminat seni, luangkan masa seharian untuk meneroka muzium-muzium seni pilihan anda seperti Yuz Museum, Shanghai Museum, Shanghai Museum of Glass, Shanghai Gallery of Art, Liu Haisu Art Gallery, dan Rockbund Art Museum. Walaupun anda kurang berminat dengan seni, anda bakal jadi peminat seni apabila terpegun dengan kecantikan seninya!

6. Banyak Aktiviti untuk Pelawat
Shanghai kota sibuk yang tidak pernah rehat tentunya menyediakan banyak pilihan aktiviti untuk para pelawat. Jika anda ingin melakukan semua aktiviti-aktiviti yang popular, mungkin seminggu pun tak cukup! Oleh itu, perancangan awal adalah penting untuk memilih aktiviti yang sesuai dengan kunjungan anda. Jika membawa seluruh ahli keluarga dan anak-anak kecil, bolehlah menghabiskan seharian di Disneyland Shanghai. Jika lebih berminat untuk meneroka sejarah dan seni, terokalah muzium-muzium di serata Shanghai. Inginkan ketenangan, lawatlah taman-taman dan bandar-bandar air di sini. Suka membeli-belah? Di mana-mana sahaja sekitar Shanghai memang syurga membeli-belah. Tentukan apa yang ingin dialami di Shanghai dan pilihlah destinasi yang sesuai.

Shanghai kota yang wajib dilawati sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Selepas melawat Shanghai, anda akan jatuh cinta dan pasti ingin ke sana lagi!