Morocco

Makanan dan Minuman yang Terkenal di Morocco

Mungkin anda kurang terdedah dengan makanan dari Morocco dan tertarik untuk mengetahui tentang sajian-sajian enak yang terkenal di negara tersebut. Sangat mudah untuk menjamu selera di Morocco kerana ia adalah syurga makanan halal. Ikuti artikel di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang makanan dan minuman yang boleh didapati di Morocco.

1. Teh dan Ahwa (Kopi)

Cuba teh pudina yang bakal menyegarkan pagi anda. Ia adalah perkara biasa untuk menikmati secawan teh pudina setelah selesai makan. Aktiviti minum teh bersama-sama adalah suatu aktiviti sosial yang mencerminkan budaya Morocco. Ia biasanya dididihkan bersama dengan gula. Oleh itu, sekiranya anda kurang menyukai teh yang manis, anda harus menyuarakan permintaan ini sebelum teh dihidangkan. Kopi di Morocco juga pasti membangkitkan pagi anda dengan kepekatan kafein yang tinggi. Mereka menggemari kopi hitam dan pekat tapi anda boleh juga memesan kopi susu mengikut selera anda.

1.jpg

Kredit: Thomas Woodtli di Flickr

1.1.jpg

Kredit: travelwayoflife di Flickr

2. Aseer Limoon (Jus Oren)

Jus oren yang dijual di sini bukanlah jus kordial tetapi jus yang menyegarkan dan berkhasiat. Terdapat banyak gerai yang menjual jus oren yang segar diperah di Marrakech. Buah oren bersusun-susun di gerai-gerai dan penjual memerah jus oren sebaik menerima pesanan anda. Jus oren ini biasanya tidak dicampurkan dengan gula atau air, jus semata-mata! Rasanya juga manis. Tidak hairanlah jika ia digemari ramai. Dapatkan bekalan vitamin C anda sebelum memulakan pengembaraan yang panjang melalui bumi Morocco. Pasti anda lebih bertenaga untuk memulakan perjalanan!

2.jpg

Kredit: subherwal di Flickr

3. Tajine

Sejenis stu Morocco yang dimasak di dalam tembikar khas berbentuk kon menghasilkan hidangan yang lembut dan enak penuh perisa. Cedokkan stu ini dengan roti khas bernama khoobz, nikmat! Tembikar khas yang digunakan untuk memasak hidangan ini menjadi simbol ikonik Morocco. Rekabentuknya yang unik menambah tarikan untuk menikmati hidangan ini. Hidangan ini merupakan hidangan berat yang biasa dihidangkan sewaktu makan tengahari. Terdapat pelbagai resipi untuk tajine, pilihlah yang menjadi kesukaan anda. Anda wajib cuba hidangan ini.

3.jpg

Kredit: Jared Kelly di Flickr

3.1.jpg

Kredit: Lottie di Flickr

4. Brochettes

Daging yang diperap bersama pelbagai rempah-ratus dicucuk dengan besi lalu dibakar di atas pemanggang mungkin mengingatkan kita tentang sate. Seakan-akan sate tapi ini bukan makanan Asia Tenggara, ia berasal dari Morocco. Daging yang digunakan boleh jadi daging lembu, kambing atau ayam. Sayur-sayuran yang dipanggang juga turut dihidangkan bersama. Bahan perapan yang digunakan seperti paprika, bawang, jintan putih dan lada meningkatkan aroma brochette.

4.jpg

Kredit: wEnDy di Flickr

5. Couscous

Mungkin kita pernah makan couscous sebagai hidangan sampingan. Tidak di Morocco! Penyediaan couscous yang teliti membuatkan ia menjadi hidangan istimewa yang biasa dihidangkan pada hari Jumaat sebagai makanan tengahari setelah menunaikan solat Jumaat. Banyak bahan yang boleh digunakan untuk melengkapkan hidangan ini seperti kambing, ikan, sayur-sayuran, dan herba-herba segar. Ada juga pilihan yang berasaskan sayuran bagi mereka yang ingin mencuba hidangan vegetarian.

5.jpg

Kredit: Joao Craveiro di Flickr

6. Orange á Canelle

Hidangan ini asasnya adalah potongan buah oren yang diperisakan dengan serbuk kayu manis. Nampak biasa tetapi gabungan buah oren dari Morocco yang sedap dan kayu manis yang mungkin belum pernah anda cuba memang menarik. Walaupun nampak mudah, tapi sangat menyelerakan sebagai pencuci mulut setelah menikmati hidangan berat. Anda juga akan dapati bahawa rasanya berbeza-beza bila disediakan di tempat yang berbeza kerana variasi buah oren yang digunakan dan resipi yang berbeza.

6.jpg

Kredit: Patrice di Flickr

7. Harira

Antara bahan-bahan yang biasa digunakan dalam hidangan sup tradisional Morocco ini ialah kacang dhal, kacang kuda, tomato, daun ketumbar dan pelbagai rempah-ratus. Hidangan ini paling banyak dihidangkan semasa bulan Ramadhan namun mudah juga didapat pada waktu-waktu lain. Seperti hidangan Morocco yang lain, tiada dua mangkuk harira yang serupa kerana pelbagai resipi yang digunakan. Ada yang menggunakan resipi turun-temurun dari keluarga, dan ia juga berbeza-beza mengikut tempat. Enak dimakan semasa masih panas, semangkuk sup pekat ini pasti membekalkan tenaga yang banyak.

7.jpg

Kredit: Inés Fernández di Flickr

8. Mechoui

Kambing golek ini biasa diperap dengan herba-herba dan rempah-ratus istimewa Morocco. Terdapat banyak variasi cara masakan bergantung kepada tukang masak. Ada yang mengisi kambing dengan pelbagai jenis kacang atau buah-buahan kering dan ada juga yang memasukkan couscous. Waktu memanggang yang lama membuatkan daging lebih lembut dan empuk. Semasa memanggang, minyak atau mentega disapukan ke bahagian luar untuk memastikan daging kekal lembut di dalam dan ranggup di luar. Mechoui biasa dihidangkan semasa kenduri-kendara.

8.jpg

Kredit: Pascal Terjan di Flickr

9. Briouat

Kelihatan seperti samosa atau popia kerana ia sememangnya diperbuat dari kulit popia di bahagian luar. Namun, inti yang digunakan semestinya unik untuk Morocco. Untuk versi savori, ada yang menggunakan keju dari susu kambing, herba-herba dan telur. Bagi briouat versi manis pula antara inti yang digunakan ialah badam, kacang tanah dan madu. Ada briouat yang dibakar dan ada juga yang digoreng. Hidangan ini sesuai dimakan pada bila-bila masa anda lapar!

9.jpg

Kredit: Cristina di Flickr

10. Aneka Pastri

Morocco ialah syurga untuk peminat pastri kerana aneka pastri yang dijual akan membuatkan anda sukar memilih. Manisan yang dijual ini mudah didapati di pasar-pasar yang anda kunjungi. Anda dapat melihat pengaruh Perancis dalam sesetengah pastri Morocco kerana sejarah yang dikongsi oleh dua negara ini.

10.jpg

Kredit: Ali Eminov di Flickr

11. Bessara

Antara pilihan sarapan pagi yang popular buat para pekerja, sup kacang fava ini sememangnya mengenyangkan. Biasa dihidangkan dengan roti, ia membekalkan tenaga yang mencukupi untuk melalui hari yang panjang. Tidak mahal dan mudah didapati menyebabkan ia menjadi pilihan penduduk tempatan. Para pelancong juga tidak harus ketinggalan untuk mencuba makanan tempatan ini!

11.jpg

Kredit: momo go di Flickr

Wah, banyak sungguh pilihan makanan yang boleh anda cuba di Morocco! Kongsikan kegemaran anda dengan kami.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: