Korea Selatan semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sebagai destinasi pelancongan idaman. Pendedahan tentang budaya Korea melalui internet dan rancangan-rancangan televisyen telah membuka hati pelancong untuk memilih Korea Selatan sebagai destinasi percutian. Pada masa yang sama, Korea Selatan menerima perkembangan ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan tarikan untuk pelancong luar, termasuklah pelancong yang beragama Islam. Mari tinjau apakah keistimewaan Korea Selatan sehingga anda wajib melawatnya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup!
1. Makanannya yang Sedap
Terlalu banyak pilihan makanan di Korea Selatan yang boleh dimakan oleh orang Muslim. Jika kita lihat, banyak cadangan street food dan snek halal turut didapati di dalam beberapa blog seperti di sini. Antaranya termasuklah hotteok (lempeng Korea), tteokbokki (kek beras), dan susu pisang. Lakukan kajian sebelum ke sana agar anda tidak terlepas untuk menikmati makanan-makanan yang boleh didapati dengan mudah di Korea. Selain itu, antara makanan yang wajib anda cuba jika ke sana ialah Korean BBQ yang sememangnya terdapat pilihan restoran halal. Rugi jika ke sana tanpa mencuba Korean BBQ!
2. Melihat Trend Fesyen Terbaru
Korea terkenal dengan fesyennya yang tersendiri. Tidak meniru fesyen lain dan malah menjadi trendsetter, budaya fesyen di sini banyak mempengaruhi fesyen antarabangsa. Jika anda berjalan-jalan di bandar yang dipenuhi ramai orang muda seperti di Hongdae, anda pasti akan kagum dengan fesyen mereka. Yang menariknya, kos untuk bergaya tidaklah terlalu mahal kerana ada pakaian bergaya yang dijual dengan harga yang murah. Terbukti, di Korea, tidak perlu beli barang berjenama untuk tampil bergaya.
3. Syurga Membeli-belah
Korea Selatan memang sebuah syurga membeli-belah buat mereka yang suka berbelanja. Antara barangan yang sesuai dibeli di sini termasuklah pelbagai jenis keronsang, masker wajah, alat kosmetik, pakaian, mainan dan pelbagai lagi. Boleh rujuk di sini untuk senarai yang lebih terperinci. Yang pasti, anda tidak akan buntu memikirkan cara untuk menghabiskan wang belanja di sini!
4. Kaya dengan Kecantikan Semulajadi
Di sebalik kemajuan bandarnya yang dipenuhi pembangunan moden, ada kawasan yang mengekalkan kecantikan semulajadi bumi Korea Selatan. Sekiranya anda mengembara ke kawasan pulau seperti di Pulau Nami dan Pulau Jeju, nikmatilah keindahan tumbuhan semulajadi yang menyamankan. Pilih musim yang sesuai mengikut kesukaan anda dan pasti banyak gambar yang boleh diambil sebagai kenangan.
5. Melawat Kafe Bertema
Di sini juga terkenal dengan kewujudan beberapa kafe bertema yang turut dipaparkan di kaca televisyen. Kafe bertema ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk makan dan minum sambil bermesra dengan haiwan kesukaan mereka seperti kucing, kambing, raccoon, meerkat, dan banyak lagi! Ada juga kafe bertema yang tidak bertemakan haiwan peliharaan seperti kafe Hello Kitty, kafe bertemakan tumbuh-tumbuhan, kafe bertemakan seni, kafe Sherlock Holmes, dan kafe yang menjual barangan kemas. Minum secangkir kopi panas sambil menikmati suasana unik kafe pilihan anda.
6. Pertembungan Budaya Tradisional dan Moden
Masyarakat Korea yang lebih muda secara umumnya mengamalkan gaya hidup moden, namun Korea Selatan masih memelihara budaya tradisionalnya yang cukup kaya. Budaya tradisional tidak dilupakan dan antaranya diabadikan dalam bentuk muzium. Senibina tradisional juga banyak dikekalkan di beberapa tempat seperti di Bukchon Hanok dan juga istana Gyeongbokgung. Selain itu, budaya makanan di Korea Selatan kekal diaamalkan oleh kebanyakan penduduk Korea Selatan di mana makanan tradisi seperti kimchi biasa dimakan setiap hari.
7. Bandar Seoul Yang Moden
Seoul sebuah bandar yang moden, bersih dan boleh dikatakan sebagai tempat yang selamat untuk para pengunjung. Dengan sistem pengangkutan yang canggih, kemudahan kedai serbaneka di merata-rata tempat, kemudahan kediaman yang moden, rakyat Korea yang tidak mendiskriminasi kaum dan agama, ia memang sesuai untuk dilawati oleh seluruh isi keluarga.

8. Budaya K-pop dan K-drama
Semenjak industri hiburan Korea menembusi pasaran antarabangsa, peminat industri hiburan Korea semakin bercambah dan kekal sehingga ke hari ini. Terlalu banyak drama, rancangan televisyen dan kumpulan Korea yang berjaya mendapat tempat di hati peminat Malaysia. Malah, ada peminat yang sampai ke tahap fanatik! Mungkin semasa muda, anda juga turut terkesan dengan demam Korea ini. Di Korea Selatan, anda boleh meneroka dunia K-pop atau K-drama dengan lebih mendalam. Bagi peminat K-drama, anda boleh melawat lokasi penggambaran ikonik dalam drama kegemaran anda. Contohnya Pulau Nami yang cukup terkenal sebagai lokasi penting bagi drama Winter Sonata yang pernah meletup suatu ketika dahulu.

9. Teknologi Kecantikan yang Maju
Ramai rakyat Korea yang meletakkan penjagaan kecantikan sebagai perkara penting dalam kehidupan. Oleh itu, mereka berjaya menjadi antara pakar dalam bidang ini. Teknologi kecantikan di Korea semestinya beberapa langkah lebih maju daripada negara lain. Jika dilihat di bandar-bandar di sini, kedai yang menjual alat kosmetik dan penjagaan kecantikan sangat mudah didapati dan barangan dijual dengan harga yang berpatutan. Rugi jika tidak meneroka pilihan barangan kecantikan di sini yang sangat hebat!
10. Melawat Taman Tema
Oh ya, jika ke Korea Selatan dengan seisi keluarga, wajib melawat taman tema di sini. Antara taman tema yang menjadi tumpuan ramai ialah Lotte World dan juga Everland Theme Park. Ia sesuatu yang unik kerana hanya terdapat di Korea dan mencerminkan serba-sedikit budaya Korea. Di sini juga anda dapat melihat ramai rakyat tempatan yang turut bergembira dengan tarikan-tarikan yang disediakan.
Lawatan anda ke Korea Selatan pasti akan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan!
mantap informasinya 🙂 saya suka
LikeLike