ADA APA DENGAN KASHMIR?
- Pemandangan yang mengiurkan
Terkenal dengan pemandangan yang begitu cantik dan indah, Kashmir merupakan sebuah destinasi yang keseluruhannya memikat hati setiap yang mengunjunginya. Kebanyakan pengunjung yang sudah ke Kashmir sering kali ingin mengulangi pengalaman untuk mengunjunginya sekali lagi. Malahan, ada juga yang sanggup menghabiskan masa yang agak lama untuk menikmati kedamaian dan ketenangan di Kashmir.
Dal Lake, Pahalgham, Sonamarg, Gulmarg. Keindahan pemandangan yang pasti membuatkan anda bersetuju dengan perumpamaan bahawa Kashmir merupakan Syurga Dunia. Kashmir merupakan antara tempat terindah di dunia. Gunung-ganangnya diliputi salji, lembah-lembahnya dihiasi sungai-sungai yang mengalir deras dan tasik-tasik yang bening airnya. Manakala lereng-lereng gunungnya dipenuhi rumput menghijau yang menjadi makanan ternakan pada musim panas dan menjadi ladang bunga yang memercup indah pada musim bunga.
- Kecantikan penduduk Kashmir
Dikenali sebagai People of Hills, orang tempatan Kashmir terkenal dengan sikap ramah dan mudah bergaul. Mereka mempunyai anak mata yang cantik, dan kebanyakan daripada mereka yang berasal lebih hampir dengan Pakistan akan mempunyai mata yang lebih cantik dan mempersonakan. Bukan sahaja pengunjung dapat menikmati pemandangan kehijauan yang indah di Kashmir, malahan pemandangan mata kita juga akan dihiasi dengan keindahan dan kecantikan orang tempatan yang sejuk mata memandang. Mana tahu dari mata turun jatuh ke hati! 🙂
Anda yang meminati filem Bollywood, Bajrangi Baijaan pasti ingat dan terbayang-bayang kecantikan Munni dalam cerita tersebut. Bayangkan anak kecil begitu sahaja sudah cukup memukau sanubari anda taktala menonton filem itu di kaca television, apa lagi kalau bertemu dengan anak-anak gadis dan pemuda Kashmir secara langsung, diharapnya iman di dada masih utuh untuk pulang nanti.
- Kraftangan asli Kashmiri
Tidak hanya berakhir dengan kehebatan cinta Shah Jahan dan keindahan bumi Kashmir, pengunjung Switzerland of India ini pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan kraftangan asli buatan penduduk tempatan Kashmir, yang rata-ratanya sangat halus dan cantik. Secantik tuan yang menghasilkannya!
Kashmir terkenal sebagai pengeluar bulu kambing Cashmere yang dieksport ke seluruh dunia, pengeluar barangan kraf tangan seperti selendang, permaidani sutera, tembikar, ukiran kayu dan banyak lagi. Tidak harus dirisau tentang di mana anda boleh mendapatkan cenderahati-cenderahati asli buatan Kashmir yang cantik-cantik dan murah itu kerana walaupun hanya duduk menikmati “Shikara Ride” di sepanjang Dal Lake, Srinagar akan ada sahaja yang datang menghampiri untuk berjual beli. Jadi di sini, kuasa tawar menawar anda amatlah berguna dan memainkan peranan yang penting.
- Ski termurah di dunia
Main ski atau aktiviti musim salji di Kashmir sangatlah murah. Pengunjung boleh main ski lengkap dengan instructor yang mengajar dalam RM70++ sahaja. Mana nak dapat murah macamtu? Pengunjung yang datang ke Kashmir tidak bermain ski dan juga aktiviti musim salji samalah tidak lengkap diibaratkan seperti orang Malaysia yang tidak dijamu nasi lemak untuk sarapan pagi. Jadi tidak hairanlah Gulmarg, Kashmir menjadi tempat tumpuan pengunjung luar negara dan juga penduduk tempatan untuk melepaskan gian bermain ski dan aktiviti-aktiviti musim salju. Pastinya kenangan yang tidak dapat digambarkan dan dilupakan seumur hidup. Menghabiskan masa seharian suntuk di Gulmarg, Kashmir pastinya menjanjikan kenangan terindah dalam hidup para pengunjung.