Ramai orang gemar mengembara namun tidak mempunyai inisiatif untuk merekodkan bukti pengembaraan mereka. Setelah melaburkan beribu-ribu ringgit untuk mengembara, kenangan tersebut wajib anda catatkan bagi mengimbas kembali saat-saat indah yang telah dilalui. Di sini dikongsikan beberapa cara yang mudah untuk melakukannya.
1. Diari
Catatan diari mengembara sesuai bagi mereka yang gemar menulis. Bagi memudahkan proses ini, tulislah setiap hari di dalam diari ini semasa anda sedang mengembara supaya anda tidak lupa pengalaman yang telah dilalui selama beberapa hari pengembaraan. Cari masa sengkang di antara aktiviti-aktiviti anda dan tenangkan diri sambil menulis dalam buku catatan. Boleh juga lekatkan gambar di dalam diari bagi menambah tarikannya. Pasti tersenyum sendiri apabila membaca kembali diari anda!

2. Peta Dunia
Banyak hiasan berbentuk peta dunia yang dijual pada hari ini. Ada yang dalam bentuk kain, kertas, besi, dan juga material lain. Di sini, anda boleh tandakan negara dan tempat-tempat yang telah dilawati di seluruh dunia. Pamerkan di ruang tamu, pasti menjadi inspirasi untuk lebih banyak mengembara! Boleh juga dijadikan modal untuk bercerita semasa tetamu datang ke rumah.


3. Koleksi Peti Magnet
Peti magnet mudah didapati di mana-mana negara yang dilawati dan sering dijadikan cenderahati bila ke mengembara. Biasanya orang akan mempamerkannya di ruang pintu peti ais. Namun, anda boleh menjadi lebih kreatif dengan mewujudkan ruang pameran sendiri di ruang tamu. Lekatkan magnet-magnet ini di atas ruang besi khas yang boleh digantung di dinding.

4. Gambar dan Video
Ini ialah cara yang telah digunakan sejak dahulu lagi untuk merakam momen-momen pengembaraan. Bawa kamera dan video kamera yang berkualiti tinggi dan tugaskan seseorang untuk merakam setiap momen yang penting. Setelah pulang ke tanah air, kongsikan video-video dan gambar-gambar menarik dengan teman-teman pengembaraan, pasti mencuit hati semua!

5. Bingkai Memento
Sepanjang pengembaraan, pasti banyak material-material rawak yang berjaya dikumpulkan seperti tiket-tiket bas, tiket-tiket penerbangan, pasport yang tamat tempoh, tiket-tiket masuk ke muzium, poskad, duit syiling asing, risalah dan sebagainya. Kumpulkan bahan-bahan ini dan jadi kreatif dengan membingkaikan segalanya! Ia akan menyerlahkan lagi ruang hiasan anda.
- Kredit: Eduard V. Kurganov di Flickr
6. Blog dan Vlog
Cara ini sesuai bagi mereka yang lebih mahir dengan dunia digital dan ingin berkongsikan pengalaman mengembara bersama penonton yang lebih ramai. Ada yang gemar menulis tetapi lebih suka menulis di ruang digital. Oleh itu, gunakanlah blog yang percuma sebagai ruang kreatif anda. Jika penulisan ini dikongsi ramai, siapa tahu, anda mungkin berpeluang menjadi blogger terkenal?

7. Media Sosial
Media sosial adalah medium yang paling mudah dan biasa digunakan untuk berkongsi pengalaman mengembara buat generasi baru. Ini kerana ia boleh dilakukan dengan mudah, secara lansung, asalkan mempunyai talian internet. Medium ini juga mendapat liputan meluas dalam kalangan rakan-rakan pengembara, membolehkan pengembara berkongsi pengalaman dengan ramai orang.

8. Buku Lukisan
Bagi mereka yang lebih artistik, bolehlah membawa buku lukisan dan alat-alat untuk melukis semasa mengembara. Cari suasana yang tenang dan pemandangan indah dan mulakan melukis. Bawa buku lukisan ini ke mana-mana sahaja kerana semasa mengembara, bila-bila sahaja anda akan terserempak dengan pemandangan yang mengasyikkan.

Diharap dengan perkongsian ini, lebih ramai pengembara akan berminat untuk merakam detik-detik pengembaraan dunia mereka!