Sebagai pengembara yang beragama Islam, sudah tentu banyak perkara yang perlu diambilkira sebelum membuat keputusan untuk mengembara ke mana-mana. Senarai ini memudahkan anda membuat keputusan-keputusan yang penting.
1. Kesesuaian Pilihan Destinasi Pelancongan
Ini merupakan pertimbangan pertama yang harus dilakukan. Adakah destinasi yang dipilih mesra-muslim? Adakah negara tersebut mempunyai komuniti Muslim? Tidak semestinya negara yang mempunyai majoriti penduduk yang tidak beragama Islam tidak sesuai untuk pelancong Muslim. Timbulnya kesedaran tentang kewujudan pelancong Muslim telah menggalakkan banyak negara menyediakan kemudahan yang sesuai untuk mereka yang beragama Islam. Antaranya ada yang menyediakan tempat solat dan restoran yang menyajikan makanan halal pula semakin mudah didapati.

2. Kemudahan Mendapatkan Makanan Halal
Semestinya waktu mengembara, makanan antara faktor utama yang perlu difikirkan. Sekiranya memilih pakej yang menyediakan makanan halal sepenuhnya, ini tidak menjadi masalah. Jika tinggal di Airbnb yang membenarkan penginap memasak, perlu pastikan pula terdapat kedai yang menjual barangan mentah halal yang berdekatan. Mungkin juga boleh mencari maklumat tentang restoran halal yang boleh dicuba ketika mengembara. Lebih baik sekiranya ada restoran halal yang menyajikan makanan tempatan versi halal.
3. Waktu Solat dan Tempat Solat
Waktu solat di banyak negara jauh berbeza mengikut musim. Ia bukan seperti di Malaysia di mana waktu solat tidak banyak berbeza sepanjang tahun. Ini adalah kerana di negara-negara bermusim, mungkin waktu matahari terbit dan terbenam jauh berbeza sepanjang tahun. Oleh itu, pengembara harus mengambiltahu waktu solat di destinasi tujuan anda. Ini penting untuk menyusun itinerari berdasarkan waktu-waktu tersebut. Selain itu, tempat solat harus difikirkan. Adakah tempat khas yang disediakan? Sekiranya ada tempat khas untuk solat, adakah ia jauh dari kawasan lawatan anda? Atau mungkin anda terpaksa bersolat di kawasan awam dengan membentangkan tikar? Susunlah jadual dengan mengambilkira faktor-faktor ini.

4. Susunan Itinerari
Susunan itinerari seharusnya sesuai untuk membolehkan pengembara rehat sebentar bagi menunaikan kewajipan solat. Ia juga harus sesuai dengan waktu makan, waktu membersihkan diri dan membolehkan pengembara berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Itinerari yang terlalu padat juga akan membuatkan pengembara terlalu letih untuk menikmati perjalanan.

5. Pakaian Yang Sesuai
Tidak semua pakaian sesuai untuk semua destinasi dan semua musim. Mungkin baju kurung tidak sesuai untuk melancong ke taman tema atau ke tempat sejuk. Terdapat banyak pilihan pakaian sejuk atau musim panas yang sopan dan sesuai untuk imej Muslim. Sebelum memulakan pengembaraan, rancang pakaian yang diperlukan dan beli beberapa helai sekiranya perlu.

6. Pemandu Pelancong
Pemilihan pemandu pelancong juga boleh menentukan samada anda menikmati percutian atau sebaliknya. Sebagai keluarga Muslim, tidak semestinya hanya pemandu pelancong Muslim yang terbaik. Ada juga pemandu pelancong bukan Muslim yang memahami keperluan pelancong Muslim. Oleh itu, ambilkira pengalaman pemandu pelancong untuk memastikan perjalanan anda selesa.
7. Penerimaan Masyarakat Setempat
Harus diakui bahawa ada masyarakat yang tidak menyenangi umat Islam kerana pengaruh media yang negatif. Pastikan destinasi yang dipilih adalah selamat untuk pelancong Muslim. Destinasi yang mempunyai masyarakat berbilang kaum sudah tentu akan lebih bersikap terbuka untuk menerima kunjungan pelancong Muslim. Tidak perlu takut kerana kebanyakan orang bersikap neutral dan lebih terbuka. Tunjukkan kebaikan dan kemesraan orang Muslim, persepsi mereka pasti lebih positif.
Sebagai pengembara Muslim, ambil kira perkara-perkara ini sebelum memulakan pengembaraan anda yang menyeronokkan!