Apa yang menarik di Perth yang akan membuatkan pengembaraan anda menjadi sesuatu yang tidak mungkin dilupakan? Jom lihat tarikan-tarikan yang terdapat di Perth, Australia.
1. Caversham Wildlife Park
Pelbagai aktiviti seisi keluarga boleh dilakukan di sini terutamanya bagi mereka yang sukakan haiwan. Tempat ini pasti menjadi tarikan besar buat anak-anak. Di sini anda boleh melihat secara dekat, malah menyentuh haiwan-haiwan unik yang terdapat di Australia. Antaranya seperti wombat, kanggaru, dan beruang koala. Ada juga haiwan lain termasuklah penguin, kambing, burung-burung dan haiwan reptilia. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar ye!

2. Pinnacles, Nambung National Park
Pemandangan gurun di sini yang dihiasi bukit-bukit kecil memang sukar didapati di tempat lain. Bentuk muka bumi ini telah terbentuk semenjak beberapa juta tahun dahulu di mana kawasan ini dahulu kala merupakan kawasan bawah paras air laut. Rugi jika tidak singgah untuk menikmati pemandangan yang lain daripada yang lain ini. Ia akan menjadi suatu pengalaman yang tidak mungkin anda lupakan. Boleh dijadikan latar belakang untuk gambar anda di media sosial!

3. Lancelin Sand Dunes
Ini satu lagi kawasan gurun yang mempunyai pemandangan indah dan wajib anda singgah. Pemandangan ikonik ini juga menjadi latar belakang beberapa drama popular. Ada juga yang memilih untuk melakukan aktiviti lasak ‘sandboarding’, sesuai untuk mereka yang lebih aktif. Masuk adalah percuma tetapi aktiviti ‘sandboarding’ memerlukan bayaran tambahan. Oh ya, jangan lupa kenakan pakaian yang sesuai ya!

4. Freemantle Market
Pasar ini menjadi tempat tumpuan para pelancong dan juga masyarakat tempatan dan telah wujud lebih seratus tahun dahulu. Pasar ini bukan sahaja menjual sayur-sayuran dan buah-buahan segar, malah pelbagai cenderahati yang boleh dibawa pulang. Antaranya barangan hiasan rumah, aksesori dan pakaian, mainan, makanan, barangan kecantikan, produk organik dan pelbagai lagi. Luangkan sedikit masa di sini untuk membeli-belah. Pastikan anda periksa waktu operasi sebelum ke sini.

5. Kings Park
Sebuah taman yang cukup besar dan terletak di tengah-tengah kawasan bandar. Memaparkan beribu-ribu spesis tumbuhan yang cantik, ia sesuai dikunjungi oleh seisi keluarga. Taman besar ini dibahagikan kepada beberapa kawasan yang boleh anda rujuk di sini. Banyak juga acara yang dijadualkan sepanjang tahun mengikut musim.

6. Cottesloe Beach
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di pantai ini seperti berenang, menyelam dan ‘surfing’ bagi yang sukakan cabaran. Boleh juga bersantai dan berjalan di pesisiran pantai yang indah ini. Nikmati suasana matahari terbenam di sini juga pasti akan mencipta kenangan indah.

Perth, Australia ialah destinasi yang patut anda terokai untuk percutian seterusnya!