Bercuti bersama seluruh ahli keluarga memang suatu aktiviti yang menyeronokkan tetapi anda harus bersedia untuk pelbagai kemungkinan. Di sini disertakan beberapa tips bagi memudahkan pengembaraan anda.
1. Tempah Apartment yang Mempunyai Beberapa Bilik dan Tempah Lebih Awal
Bagi keluarga yang mengembara dalam kumpulan yang besar terutamanya, pilihan untuk menginap di apartment adalah lebih sesuai berbanding hotel. Airbnb menyediakan platform yang sesuai untuk membuat pilihan penginapan. Menginap di apartment boleh menjimatkan belanja dan membolehkan ahli keluarga bergaul mesra dan bersantai di ruangan-ruangan yang disediakan. Jangan lupa untuk membuat tempahan bilik yang lebih awal jika mengembara dalam kumpulan yang besar bagi mengelakkan kesukaran mendapatkan bilik yang sesuai.

2. Rancang Kemudahan-kemudahan yang Keluarga Anda Perlukan
Buat keputusan samada ingin menggunakan kemudahan-kemudahan seperti dapur untuk memasak dan mesin membasuh baju. Sekiranya ingin menggunakan dapur bagi menjimatkan belanja makan, pilihla kediaman yang mempunyai kemudahan ini dan juga yang berdekatan dengan kedai yang menjual makanan. Kenal pasti kedai yang menjual bahan mentah yang halal. Bawa juga rencah makanan yang sesuai. bagi memudahkan aktiviti masakan. Jangan lupa untuk memeriksa sekiranya destinasi anda membenarkan anda untuk membawa bahan masakan dari negara anda.

3. Ambil Pakej Penuh Bagi Memudahkan Perjalanan
Bagi memudahkan lagi perjalanan sekeluarga, apa kata pilih pakej pelancongan penuh yang menyediakan segala-galanya dari penginapan, pengangkutan, pemandu pelancong, makanan dan itinerari? Ini memastikan anda dapat memanfaatkan sepenuhnya masa sewaktu berada di destinasi pilihan dan tidak terlepas untuk melawat tempat tumpuan pelancong utama. Anda juga tidak perlu pening tentang makanan halal jika pakej menyediakan segala-galanya. Hanya nikmati perjalanan!
4. Sewa Kenderaan yang Sesuai
Bagi mereka yang mengembara sendiri, pilihlah kenderaaan yang sesuai untuk membawa seluruh ahli keluarga ke mana-mana. Kenderaan harus selesa dan sesuai dengan saiz kumpulan. Jika ingin memandu sendiri, pastikan lesen memandu boleh digunakan di negara pilihan dan anda tahu cara untuk sampai ke destinasi-destinasi yang dituju.

5. Lindungi Keluarga Dengan Insurans
Insurans penting sewaktu mengembara kerana kita tidak akan tahu apa yang mungkin menimpa mana-mana ahli keluarga semasa mengembara. Kemalangan boleh menimpa pada bila-bila masa tanpa dijangka, oleh itu lebih baik bersedia untuk sebarang kemungkinan.

6. Bawa Permainan yang Sesuai untuk Anak-anak Kecil
Perjalanan yang panjang pasti membosankan bagi kana-kanak, terutamanya sewaktu penerbangan jarak jauh. Sediakan tablet yang dimuat turun dengan pelbagai video kesukaan anak-anak, atau bawalah beberapa permainan kesukaaannya. Bawa juga buku aktiviti yang sesuai seperti buku mewarna dan menulis. Anak-anak yang leka dengan permainan akan kurang mendatangkan masalah semasa dalam perjalanan. Ini akan menjadi penyelamat anda!

7. Pilih Destinasi yang Sesuai
Tidak semua destinasi sesuai untuk seluruh ahli keluarga. Jika membawa anak-anak kecil, mungkin destinasi yang lebih mencabar seperti gurun dan bukit-bukau tidak sesuai. Bagi warga tua pula, mungkin taman tema tidak dapat menggembirakan mereka. Oleh itu, susunlah itinerari mengikut kesesuaian setiap ahli kumpulan.

8. Nikmati Setiap Saat Pengembaraan!
Yang paling penting bagi pengembaraan keluarga ialah untuk menikmati setiap saat pengembaraan tersebut! Masa bersama keluarga mungkin agak terhad kerana kesibukan harian sepanjang tahun. Masa bercutilah waktu yang paling sesuai untuk kembali merapatkan hubungan sesama ahli keluarga. Ingat bahawa kenangan ini yang akan dibawa sehingga ke hari tua.
Nikmati pengembaraan bersama keluarga sepenuhnya!