Bali sememangnya ibarat syurga buat pelancong dari seluruh negara. Tempat tumpuan pelancong yang kaya dengan keunikan budaya dan keindahan alamnya tentunya menjanjikan pengalaman yang indah buat para pengunjung. Jom kita pelajari tentang fakta-fakta yang membuat Bali lebih menarik.
1. Bali mempunyai gunung berapi yang masih aktif
Gunung Agung yang setinggi 3,142 meter ialah salah satu puncak tertinggi di Bali yang merupakan gunung berapi yang aktif. Malah, letusan pada tahun 1963 telah mengorbankan lebih kurang 1,500 nyawa. Pada hari ini, anda masih boleh melihat aktiviti gunung ini yang aktif. Hati-hati ya!

2. Sambutan Hari Nyepi di Bali
Hari Nyepi merupakan perayaan hindu yang disambut hanya di Bali, sekali setahun. Asal perkataan nyepi ialah senyap atau sunyi. Oleh itu, aktiviti harus diminimakan pada hari tersebut. Malah, lapangan terbang turut ditutup! Tetapi, hospital masih dibuka seperti biasa. Hari ini dilihat sebagai peluang untuk melakukan refleksi terhadap diri sendiri. Oleh itu, jangan pelik sekiranya seluruh Bali terasa sepi pada hari Nyepi!

3. Bali mempunyai jumlah spa yang banyak
Bali merupakan antara tempat yang mempunyai kepadatan spa tertinggi di dunia! Lebih kurang 1,200 spa terdapat di Bali dan jumlahnya sudah tentu semakin meningkat. Oleh itu, menjadi suatu kewajiban untuk para pelancong mengunjungi spa-spa di Bali bagi mendapat khidmat memanjakan diri seperti urutan badan setelah penat berjalan-jalan meneroka pulau ini. Banyak pilihan urutan badan yang boleh didapati daripada urutan yang harganya berpatutan ke urutan yang lebih bertaraf lima bintang. Bila lagi masa untuk memanjakan diri jika bukan sewaktu bercuti? Pilihan yang tepat untuk pasangan yang berbulan madu di Bali.

4. Penghuni tetap Bali: Kera
Hati-hati ya, kera-kera yang terdapat di Bali agak nakal! Mereka antara tarikan pelancong yang suka bergambar dengan mereka, tetapi kera-kera ini akan cuba mengambil barang-barang para pelancong. Jaga-jaga dengan beg, makanan, botol air, cermin mata hitam anda kerana kemungkinan kera-kera ini akan melarikannya! Tips yang berguna ialah jangan senyum dengan menampakkan gigi anda di hadapan mereka kerana jika kera-kera ini akan menganggap anda mencabar mereka.

5. Ekonomi Bali bergantung kepada industri pelancongan
Sehingga 80 peratus ekonomi Bali bergantung kepada sektor pelancongan. Tidak hairanlah sekiranya Bali sering dipenuhi dengan pelancong dari serata dunia. Kelibat para pelancong boleh dilihat di Bali sepanjang tahun. Pelancong dari Eropah dan Amerika suka berkunjung ke sini untuk melihat pantai-pantai cantik, menikmati cuaca yang panas, dan berbelanja kerana nilai matawang yang lebih rendah. Selain itu, budaya Bali yang unik juga antara sumber tarikan pelancong.

6. Terdapat pantai berpasir hitam di Bali
Terdapat beberapa kawasan pantai yang berpasir hitam seperti Lovina. Pantai berpasir hitam ini terhasil daripada lava dari Gunung Agung yang telah sejuk. Jika anda hanya biasa melihat pasir pantai yang putih bersih, kunjungilah kawasan berpasir hitam pula untuk merasai pengalaman yang berbeza. Pantai ini juga terkenal dengan aktiviti melihat ikan lumba-lumba pada waktu awal pagi.

Banyak lagi fakta-fakta tentang Bali yang boleh anda pelajari dan alami sendiri dengan berkunjung ke sana!
Klo disana itu everyday is holiday…
LikeLike
Benar. Salah satu tempat favourite admin ialah Bali. ^_^
LikeLike
inshaAllah awal november saya ke bali om
LikeLike