Jika melawat negara matahari terbit ini, pasti terlintas di fikiran makanan apakah yang boleh kita cuba sepanjang percutian ke sini. Terdapat beberapa jenis makanan tempatan yang halal atau mesra muslim yang anda mesti cuba. Antaranya ialah :-
1) Ramen

Antara makanan paling popular jika berada di negara matahari terbit ini. Agak rugi jika sudah sampai ke sini tanpa menikmati tempat asal makanan ini. Kebiasaannya untuk ramen yang halal akan menggunakan ‘broth’ yang dibuat daripada ayam, makanan laut atau sayur. Antara ‘branding’ atau kedai makan yang popular ialah Ayam-Ya, Ramen Honulu dan Naritaya.
Antara adab atau etika ketika makan ramen ialah menghirup beberapa sisip ‘broth’ ramen anda terlebih dahulu dan nikmati ramen semasa ia masih panas. Apabila anda menghirup dengan sekuat-kuat yang mungkin ketika makan mi panas atau sejuk ia dianggap sebagai menghormati tukang masak yang memasak makanan untuk anda. Anda tidak digalakkan bercakap semasa menikmati ramen kerana ianya menunjukkan rasa tidak hormat kepada tukang masak anda.
Selepas menikmati ramen, anda juga boleh melawat ke muzium ramen yang terdapat di Tokyo & Osaka di mana sejarah mi ramen segera yang dicipta oleh Momofuku Ando dan dinobatkan sebagai ciptaan terbaik bagi Jepun.
2) Yakiniku
Tahukah anda Yakiniku ialah hidangan daging panggang yang dihiris nipis. Yaki bermaksud panggang dan Niku bermaksud daging. Terdapat dua jenis pemanggang di restoran yakiniku iaitu Teppanyaki, bahan-bahan dipanggang di atas pemanggang besi dan Sumiyaki, bahan-bahan dipanggang diatas arang.

Jika anda melawat restoran yang menyediakan hidangan ini anda boleh memilih kepingan daging bermutu tinggi yang dihiris nipis seperti daging lembu, daging kambing, daging ayam dan yang paling popular ialah kepingan daging Wagyu. Selain itu, anda juga boleh memanggang sayur bersama-sama kepingan daging yang enak ini. Sos yang disediakan adalah bergantung kepada jenis kepingan daging yang dipilih.
Tahukah anda 29 Ogos dianggap hari Yakiniku di Jepun kerana tarikh 29 Ogos boleh dibaca secara kasar sebagai Ya = 8, Ni = 2, Ku = 2.
3) Shabu – Shabu

Berbeza dengan Yakiniku, Shabu-Shabu pula ialah hidangan daging yang dihiris nipis dan dimasak bersama sayur – sayuran yang dimasak dalam satu periuk panas, seperti ‘steamboat’. Ianya dianggap hidangan musim sejuk tetapi dinikmati oleh orang ramai sepanjang tahun. Hidangan ini selalunya lebih mahal berbanding dengan Yakiniku.
Tahukah anda Shabu-Shabu bermaksud swish swish (gerakan apabila masak daging tersebut) ?
4) Takoyaki

Perkataan Takoyaki diambil dari perkataan Tako (蛸) yang bermaksud sotong dan Yaki (焼) yang bermaksud panggang.
Takoyaki ialah ‘snack’ yang diperbuat daripada bancuhan tepung, sayur dan inti seperti sotong, udang, ayam bersama keju dan banyak lagi. Tetapi inti yang asli ialah sotong.
Makanan ini lebih banyak dimakan oleh penduduk di Osaka dan Kyoto berbanding kawasan lain. Takoyaki di Jepun mempunyai saiz lebih besar berbanding dengan Takoyaki yang boleh didapati di Malaysia. Antara restoran halal yang menyediakan Takoyaki ialah Mahsuri yang terletak di Osaka.
5) Sushi
Tak sah jika ke Jepun tanpa merasai sushi di restoran atau pasar ikan terkemuka di sana. Sushi ini dibuat daripada ikan dan makanan laut segar yang sangat disukai oleh orang ramai. Anda boleh mengunjungi pasar ikan yang terkemuka seperti Tsukiji Market yang terletak di Tokyo atau Kurumon Market di Osaka untuk merasai makanan laut segar yang dijadikan sushi.
Terdapat 6 jenis sushi yang boleh didapati di Jepun seperti Chirashizushi, Inarizushi, Makizushi, Narezushi, Nigirizushi dan Oshizushi. Jangan lupa untuk cuba kesemua jenis sushi ini.
Jadi apa yang anda tunggu lagi? Usah khuatir jika ke Jepun kerana sudah banyak kedai atau restoran halal untuk anda cuba.