Paris dikenali dengan gelaran la Ville Lumière (Bandar Berlampu atau Bandar Bercahaya) adalah destinasi pelancong utama di dunia. Ibu negara Perancis ini mempunyai penduduk paling tinggi di dalam Kesatuan Eropah juga dianggarkan mempunyai penduduk metropolitan ke-20 teramai di dunia. Keunikannya ialah pada setiap malam, Paris selalu akan bermandikan cahaya lampu yang terang-benderang membuatkan pemandangan di situ sungguh mempesonakan.
Paris mempunyai banyak tempat yang anda boleh lawati dan harus pergi jika ke sana. Ibu negara Paris ini bukan sekadar menara Eiffel yang terkenal dengan pemandangan yang romantik, ianya lebih dari itu. Mari lihat dan ketahui tempat-tempat yang menarik yang ada di Kota Paris ini.
- Eiffel Tower
Apabila sebut sahaja tentang Paris, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran anda semestinya Eiffel Tower. Kota Paris digelar sebagai kota cinta yang menjadi daya tarikan pelancong dibina pada tahun 1887 dan siap dua tahun kemudian. Menara Eiffel adalah monumen berbayar yang paling kerap dikunjungi oleh lebih 7 juta pelancong setiap tahun yang datangnya dari seluruh pelusuk dunia. Menara ini mempunyai ketinggian 324 meter, sama tinggi dengan bangunan 81 tingkat dan struktur tertinggi di Paris. Ikon budaya global Perancis ini terdapat beberapa kemudahan di dalamnya termasuklah restoran, kedai cenderamata dan tandas awam. Pengunjung dapat menikmati panorama seluruh bandar Paris daripada puncak tertinggi di kawasan ini.

2. Notre Dame Cathedral
Dihiasi dengan ukiran bercirikan Gothic, ikon Paris ini sangat penting untuk setiap pelawat datang ke sini. Butiran arkitektural yang menggabungkan tingkap bebentuk ros dan arca-arca yang mengagumkan. Ianya juga merupakan tempat kesusasteraan klasik oleh Victor Hugo, “The Hunchback of Notre-Dame”. Tiada caj yang dikenakan untuk masuk ke bangunan zaman pertengahan ini (walaupun perlu memanjat tangga menara kembarnya) seperti berjalan-jalan di sepanjang kawasan kejiranan Seine untuk melihat pemandangan dari katedral dan ukiran arca.

3. Lourve Museum
Tahukah anda, Louvre Museum merupakan muzium seni paling besar di dunia dan sentiasa dikunjungi oleh mereka yang mencintai seni dan sejarah. Anda boleh melihat secara dekat koleksi seni mahal dari tokoh tersohor dunia seperti ‘Mona Lisa’ daripada Leonardo da Vinci dan ‘Dying Slave’ daripada Michaelangelo.
Louvre pada awalnya dirancang oleh seorang lelaki Perancis bernama Philip Augustus II pada abad ke-12. Pada awalnya, Louvre dibuat sebagai benteng pertahanan. Benteng ini seterusnya diperluas sedikit demi sedikit hingga menjadi istana tempat bersemayam raja-raja Perancis.

4. Les Invalides
Des Invalides adalah salah satu tempat menarik dan rugi sekiranya anda melepaskan peluang ke sini. Di sini, anda boleh mengunjungi makam Raja Napoleon Bonaparte 1 dan tiga muzium lain yang bernama Musee de l’Ordre de la Liberation, Muzium Bantuan Musee des Plans dan Muzium Musee de l’Armee. Sejarah yang kompleks ini tidak dapat dipisahkan dari perang yang berlaku pada abad ke-17. Pada masa itu tiada satu institusi yang mampu menampung para pejuang dan veteran perang yang cacat sehinggalah pemerintahan Raja Louis XIV. Pada tahun 1670, Raja Louis XIV memutuskan untuk membuat sebuah rumah jagaan iaitu (Hotel des Invalides) bagi mereka yang cedera semasa perang atau yang sudah terlalu tua untuk menyertai pertempuran.

5. Palais Garnier
“Opéra National de Paris” adalah salah satu bangunan paling indah di Paris, Perancis. Sebelumnya bangunan ini disebut Salle des Capucines dan berfungsi sebagai bangunan pertunjukan atau opera.

Bangunan ini direka oleh Baron Haussmann pada tahun 1858, dan dibina oleh Charles Garnier pada tahun 1861. Palais Garnier dianggarkan dapat menampung 450 pelakon dan aktres. Tambahan pula, auditorum itu sendiri dapat menampung seramai 2000 orang. Lama kelamaan bangunan ini telah mengubah namanya menjadi Palais Garnier kerana pengiktirafan dan kemewahan arkitek Charles Garnier. Opera ini digunakan untuk membuat tarian balet, pertunjukan muzik klasik serta persembahan-persembahan lain.
6. Arc de Triomphe
Salah satu tempat lain yang menarik adalah Monumen Arc de Triomphe. Di sebalik monumen ini terdapat sejarahnya yang tersendiri. Ia bermaksud gerbang kemenangan, merupakan monumen yang dibina untuk untuk mengingati kemenangan pejuang zaman perang dan menghormati pejuang yang terkorban dalam Perang Revolusi dan Napolean Perancis.

Di Arc de Triomphe ini, anda boleh mengambil gambar dan menghargai seni pertukangan monumen tersebut.
7. Place de Concorde
Jika anda ingin mengetahui sejarah di Perancis secara terperinci, cubalah pergi ke tempat ini. Tempat ini menjadi tempat perjumpaan untuk rakyat Perancis. Place de Concorde diasaskan oleh Ange-Jacques Gabriel pada tahun 1755 yang terletak di antara Champ Elysees di barat dan Tuileris Garden di timur. Pelancong yang mengunjungi tempat ini biasanya ingin melihat beberapa air pancut dan patung.

Tepat di tengah-tengah tempat ini berdirinya sebuah monumen yang sangat terkenal dari Mesir pada zaman Firaun. Tugu ini diberikan oleh pemerintah Mesir pada zaman dahulu. Sebenarnya, pemerintah Mesir pernah memberikan dua monumen, tetapi hanya satu sahaja yang sampai di Perancis. Sementara tiang yang lain masih ada di Mesir, kerana pada waktu itu masih dibatasi oleh teknologi sehingga sukar untuk memindahkannya. Ketinggian monumen ini sekitar 23 meter dan beratnya lebih kurang 250 tan.
8. Champs Elysees
Champs Elysees merupakan salah satu tarikan bandar paling terkenal di dunia. Dihiasi dengan seni bina indah, taman awam dan ciri-ciri sejarah yang boleh anda hayati. Daerah hiburan dan pusat membeli-belah mewah ini dikenali secara rasmi sebagai “Avenue des Champs-Élysées”.

Apa lagi aktiviti yang boleh dilakukan di sini jika bukan membeli-belah yang menyeronokkan! Anda mahukan beg tangan Louis Vuitton? Mungkin juga skarf baharu daripada Hermes? Kaki lima Champs Elysees ini dipenuhi dengan kedai yang menjual pelbagai barangan dari barang-barang berjenama terkenal hingga cenderamata Perancis. Jika sudah sampai di sini, anda patut mencuci mata sepuas-puasnya.
Kedai jenama terkenal lain di sini termasuklah :
• Tiffany & Co.
• Marks and Spencer
• H&M
• Tommy Hilfiger
• Christian Dior
• Gianni Versace
• Motor Village (Fiat)
Paris merupakan kota fesyen yang terkenal di dunia. Pengunjung datang ke sini untuk melihat dan merasai sendiri koleksi-koleksi fesyen di Kota Cinta Paris.
9. Paris Grand Mosque
Sebagai seorang muslim, jika melancong ke luar negara solat merupakan perkara yang harus menjadi keutamaan. Apa yang menariknya di Perancis terdapat sebuah masjid yang bernama Paris Grand Mosque.

Masjid ini di bina pada tahun di antara 1922 dan 1926 dan terletak di Latin Quarter. Masjid ini mengikut gaya Moorish dan di sebelahnya ada sebuah kafe. Pemandangan masjid yang sangat berwarna-warni ini ibarat jelmaan mozek yang cukup indah dan unik. Di Paris, terdapat 2,300 buah masjid dan kini bilangannya semakin bertambah.
10. Galeries Lafayette Hausmann
Pertama kali dirasmikan pada tahun 1893, gedung membeli-belah Galeries Lafayette Hausmann adalah sebuah institusi fesyen di Paris. Terletak berhampiran dengan Opera Garnier yang megah, kompleks yang luas dan luar biasa ini merupakan perhentian penting bagi peminat fesyen.

Terdapat koleksi lelaki dan wanita mengikut “trend” terkini dalam perhiasan dan aksesori, hiasan rumah atau kosmetik juga boleh diteliti di bawah satu bumbung.
Jika sudah sampai di Paris, anda wajib ke tempat-tempat yang telah disenaraikan di atas. Semoga info ini bermanfaat dan boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.