Amsterdam merupakan salah satu bandar terkenal yang terletak di benua Eropah. Pada abad ke-12, Amsterdam merupakan satu perkampungan nelayan bernama Amstellodamus yang terletak di sebalik empangan atau benteng yang melindungi perkampungan ini daripada air sungai Amstel. Amsterdam mendapat nama daripada perkampungan ini. Pada 1983, bandar ini secara rasmi dikenali sebagai ibu negara bagi Belanda.
Bandar ini mempunyai populasi seramai 873,000 orang yang meliputi kawasan seluas 219.3 km². Matawang yang digunakan di Amsterdam dan seluruh Belanda ialah Euro. Walaupun bahasa rasmi bagi penduduk ialah Dutch, tetapi majoriti penduduk di sini boleh berbahasa Inggeris.
14 juta pelancong melawat Amsterdam setiap tahun. 4.5 juta daripada jumlah tersebut ialah pelancong tempatan manakala 9.5 juta lagi ialah pelancong asing. Jumlah penduduk disini seramai 873,000 pada tahun 2019.
Amsterdam dan separuh daripada Belanda terletak di bawah aras laut. Malahan Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam juga terletak beberapa meter di bawah aras laut. Lapangan terbang ini juga satu-satunya lapangan terbang di dunia yang mempunyai muzium. Muzium ini terletak di belakang kaunter kawalan pasport dan masuk adalah percuma!
1) Menaiki cruise terusan air di Amsterdam
Bandar ini mempunyai 165 terusan air yang meliputi kawasan sejauh 100 kilometer. Fakta ini membuatkan Amsterdam mempunyai terusan air dan jambatan yang lebih banyak berbanding Venice. Terusan air ini dibina diantara 1585 – 1665 dan kedalaman terusan di Amsterdam boleh mencecah dua ke tiga meter.

Terusan air yang paling terkenal ialah Brouwersgracht, ianya dikelilingi oleh rumah terusan air dan houseboat yang cantik. Terusan air yang tertua pula boleh dijumpa di kawasan Red Light District.
Jika di Venice, terdapat lebih 400 jambatan yang boleh dijumpai manakala di Amsterdam, terdapat 1,281 jambatan untuk anda terokai. Ini menjadikan Amsterdam sebagai bandar kedua yang mempunyai jumlah jambatan tertinggi di dunia di belakang Hamburg, Jerman. Antara info menarik ialah jambatan yang diberi nama De Torensluis yang dibina pada 1648 merupakan jambatan tertua dan terbesar di Amsterdam.
Oleh itu antara cara terbaik untuk menikmati permandangan di Amsterdam ialah dengan menaiki cruise. Cruise ini akan membawa penumpang mengelilingi terusan air di Amsterdam. Selain itu, bergantung kepada pakej syarikat cruise yang dipilih, alat bantuan audio akan diberikan untuk anda mendengar sejarah dan info menarik sepanjang pelayaran.
2) Menerokai bandar Amsterdam dengan menaiki basikal
Amsterdam dinobatkan antara bandar yang mempunyai sistem pengangkutan awam terbaik dimana lebih 750,000 orang menggunakan pengangkutan awam terutamanya basikal. Lebih 1 juta basikal terdapat dibandar ini melebihi jumlah penduduk yang hanya seramai 873,000 orang. Dianggarkan sebanyak 70% daripada penduduk di Amsterdam menggunakan basikal setiap hari. Amsterdam telah dinobatkan bandar kedua mesra basikal di dunia selepas Copenhagen, Denmark.
Gambar oleh Getty Image
Bandar ini mempunyai laluan khas basikal yang merangkumi kawasan seluas 515 kilometer di seluruh Amsterdam. Setiap tahun sebanyak 25,000 basikal hilang atau dibuang ke terusan air tetapi hanya 15,000 basikal dikeluarkan daripada terusan air Amsterdam oleh bot khas majlis perbandaran Amsterdam.
Antara peraturan ketika menunggang basikal ialah anda boleh menunggang basikal tanpa memakai helmet. Tidak sah daripada segi perundangan jika anda menunggang basikal tanpa loceng dan lampu.
Penunggang basikal mempunyai hak melebihi pejalan kaki dan pemandu kereta mengikut undang-undang disini. Jika kemalangan berlaku antara penunggang basikal ketika memandu atau berjalan kaki, anda akan dipertanggungjawabkan walaupun kesalahan datang dari penunggang basikal.
3) Melawat atau menginap di houseboat

Gambar oleh Andy Herbon
Terdapat 2,500 houseboat di sepanjang terusan air di bandar ini. Dikalangan itu terdapat houseboat yang digunakan sebagai kediaman peribadi dan houseboat yang disewakan kepada pelancong yang melawat bandar ini.

Gambar oleh Kittens on the Keyboard
Antara tarikan menarik disepanjang terusan air ialah muzium houseboat, dimana anda boleh melihat cara orang tempatan tinggal di houseboat. Selain itu, anda boleh melawat rumah perlindungan haiwan dan kedai cenderamata yang dikenali sebagai Catboat – De Poezenboot La Barca dei Gatti.
Disebabkan Amsterdam terkenal dengan terusan air, agak rugi jika anda terlepas peluang untuk melawat atau menginap di houseboat.
4) Melawat ladang tulip terbesar di dunia – Keukenhof Tulips Garden
Perkataan Keukenhof merujuk kepada kitchen garden dalam Bahasa Dutch. Ianya mendapat nama daripada Countess Jacoba van Beieren yang memiliki tanah dikawasan tersebut pada abad ke-15. Kawasan sekitar ini digunakan untuk pengumpulan herba yang boleh didapati untuk kegunaan dapur istana.

Keukenhof ialah satu ladang bunga juga dikenali sebagai “The Garden of Europe”. Ladang bunga ini terletak di bandar kecil Lisse, Haarlem di kawasan South Holland dan tidak jauh daripada bandar Amsterdam. Ladang bunga ini ialah yang terbesar di dunia. Ladang tulip ini hanya dibuka selama 8 minggu setiap tahun bermula pertengahan Mac sehingga pertengahan Mei. Waktu puncak untuk melawat ladang ini ialah pertengahan April.

Dianggarkan lebih tujuh juta bunga tulip merangkumi 800 jenis variasi bunga tulip seluas 32 hektar. Setiap tahun 30 pekebun tetap ladang ini akan memusnahkan semua bunga diatas arahan penanam di akhir musim. Setiap tahun Belanda ialah penghasil dan pengeksport bunga tulip terbesar di dunia. Sebanyak 4.2 juta bunga tulip dihasilkan dan separuh daripadanya dieksport.

Walaupun ladang tulip terbesar terletak di Amsterdam akan tetapi ianya dibawa masuk ke Belanda oleh Kerajaan Uthmaniyyah pada awal abad ke-17. Sultan mengadakan parti bunga tulip setiap musim bunga sebelum menghadiahkan sejumlah bunga tulip kepada Belanda.
5) Membeli belah di Amsterdam
Tidak sah jika ke Amsterdam tanpa membeli belah kerana terdapat 38 pasar yang boleh didapati di Amsterdam. Amsterdam menawarkan banyak tempat yang hebat untuk membeli-belah, sama ada untuk barangan mewah mewah, kraf tempatan, atau cenderahati yang menyeronokkan.
Albert Cuypmarkt ialah pasar terbuka terbesar di Eropah terletak di De Pijp, kawasan kejiranan abad ke-19 yang telah membangun menjadi kawasan yang menarik di Amsterdam. De Pijp juga dikenali sebagai Latin Quartier. Albert Cuypmarkt mendapat nama daripada seorang pelukis Belanda yang terkenal dan anda juga boleh lihat jalan-jalan di sekitar kawasan de Pijp dinamakan berdasarkan pelukis Dutch yang lain.

Gambar oleh Jaleh Michelle
Barangan yang dijual di Albert Cuypmarkt ialah yang termurah anda boleh dapati di Amsterdam. Pasar ini dipenuhi oleh ramai pengunjung terutama pada hari Sabtu. Di Jalan Van Woustraat yang terletak di hujung Albert Cuypmarkt, anda boleh mendapat makanan jalanan seperti kentang goreng dan Vietnamese spring rolls. Di Jalan Ferdinand Bolstraat pula, anda boleh mendapat manisan Dutch seperti Stroopwafles dan Poffertjes.

Photo by Pexels
Jika anda mencari jenama yang terkenal, anda boleh ke Kalverstraat. Jalan Kalverstraat merangkumi kawasan sejauh 2.5 km bermula daripada Dam Square sehingga Muntplein. Jalan ini telah wujud lebih 600 tahun. Ianya juga pernah digunakan sebagai pasar yang menjual haiwan seperti lembu sehingga tahun 1629. Antara jenama barangan terkenal yang boleh didapati ialah H&M, Zara, Levi Jeans, Esperit, Nike dan banyak lagi.
Jika ingin mencari pengalaman yang berbeza, anda boleh ke pasar lambak Vlooienmarkt IJ-Hallen yang terkenal. Pasar lambak ini mempunyai 750 gerai dan salah satu pasar lambak terbesar di Eropah. Jualan lambak di pasar ini telah diadakan sejak tahun 1886. Jangan lepaskan peluang untuk anda mendapatkan barangan antik, makanan, koleksi retro, beg tangan, fesyen vintaj dan banyak lagi. Bayaran masuk bagi dewasa ialah €5 dan kanak-kanak €2.

Bagi peminat bunga, jika anda tidak berkesempatan untuk melawat ladang bunga terbesar di dunia – Keukenhof, anda boleh melawat Bloemenmarkt atau Floating Flower Market. Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis tumbuhan dan bunga. Pasar ini telah wujud bermula 1862 dan telah membangun sehingga dikenali sebagai pasar bunga yang terbesar di Belanda.
6) Coffee House atau Muzium Ganja
Amsterdam terkenal dengan coffee shop – kedai yang menjual ganja atau cannabis – di mana pengguna boleh membeli dan menggunakan ganja atau cannabis. Sejarah berkenaan ganja dan bandar ini bermula 1953 dimana akta berkaitan penggunaan ganja yang diharamkan diwujudkan dan pihak berkuasa pada mulanya bertindak negatif dengan peningkatan pengguna sebelum akta ini digubal. Pada 1976 akta Opium digubal untuk coffee shop menjual penggunaan skala kecil ganja yang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk pengguna berumur 18 tahun ke atas sahaja.
Kini terdapat lebih 200 kedai yang menjual ganja atau dipanggil coffee shop di seluruh Amsterdam. Antara coffee shop yang popular ialah Dampkring dimana krew “Ocean 12” banyak menghabiskan masa di sini sepanjang pengambaran. Jangan keliru kerana di Amsterdam coffee shop adalah kedai yang menjual ganja manakala koffiehuis ialah tempat untuk anda mendapat secawan kopi untuk diminum bersama pastri.
Di coffee shop, anda boleh membeli ganja tidak melebihi 5 gram seorang sahaja. Jika membeli atau membawa lebih daripada had yang dibenarkan, ada boleh dipenjara selama satu bulan atau didenda sebanyak €2,250. Hanya 18 tahun ke atas dibenarkan untuk masuk dan membeli barangan ini di coffee shop.
Hash, Marihuana & Hemp Museum Amsterdam
Gambar oleh Flickr
Selain itu anda juga boleh melawat muzium khas bagi barangan ini dinamakan Hash, Marihuana & Hemp Museum. Muzium ini ialah yang tertua dan paling penting di dunia yang mempamerkan koleksi unik ganja selain memainkan peranan penting dalam pemberian maklumat, berfungsi sebagai pusat pengetahuan dan pusat penyelidikan saintifik.
Jangan lupa untuk melawat pelbagai muzium menarik yang terdapat di Amsterdam kerana jumlah muzium disini merupakan yang tertinggi berdasarkan meter persegi berbanding bandar lain di seluruh dunia. Sebagai contoh, Anne Frank House dan muzium pelukis terkenal seperti Van Gogh dan Rembrandt.
Itulah dia antara 6 perkara yang anda boleh lakukan jika melancong ke Amsterdam. Jemput juga baca artikel tulisan kami yang lain. Semoga bermanfaat buat anda.