Eropah Tip Bercuti

Restoran halal dan mesra muslim di Amsterdam anda perlu cuba!

Setibanya musim bunga, ramai pelancong dari serata dunia ke Amsterdam kerana mahu melihat ladang bunga terbesar di dunia, Keukenhof Tulips Garden. Selain daripada itu, pelancong juga tidak melepaskan peluang melawat kincir angin, muzium terompah, kilang keju, terusan air Amsterdam, muzium Anne Frank, “Red Light District” dan banyak lagi.

Usai melawat tempat lawatan seperti diatas, pasti perut sudah berkeroncong mahukan sesuatu untuk mengisi perut yang lapar. Bagi pelancong Muslim, usah khuatir mencari kedai atau restoran halal yang terletak di ibu negara Belanda ini. Dibawah ialah senarai kedai atau restoran yang menyediakan hidangan halal atau mesra muslim.

1) Malaysian Restaurant Wau

Foto oleh Malaysian Restaurant Wau Instagram

Restoran yang terletak di tengah-tengah bandar Amsterdam ini menjadi restoran utama jika anda merindui menu masakan Malaysia seperti Nasi Goreng, Nasi Lemak, Pasembur, Kari Laksa, Sate dan Sambal Petai.

Nasi Lemak
Foto oleh Malaysian Restaurant Wau Instagram
Set Sate & Set Ayam Goreng
Foto oleh Opentable

Restoran ini menjadi pilihan kerana lokasinya yang terletak berhampiran Amsterdam Central Station dan hanya dibuka bermula hari rabu sehingga isnin sahaja. Restoran ini hanya menggunakan bahan yang halal dan berkualiti membuatkan restoran ini menjadi pilihan ramai. Selain itu, saiz hidangan yang besar membolehkan anda berkongsi bersama pasangan anda. Oleh kerana saiz restoran yang kecil, anda perlu ke restoran ini lebih awal terutamanya pada waktu puncak. Walaupun restoran ini menyediakan makanan dari bahan yang halal, seperti kebanyakkan restoran lain di Eropah, ia turut menyediakan minuman beralkohol bagi pengunjung bukan Muslim.

Reka bentuk dalaman restoran
Foto oleh Opentable

Selesai makan, anda boleh terus melakukan aktiviti seperti menaiki ‘canal cruise‘, membeli belah di H&M, Primarks atau menaiki tram ke kawasan lain di Dam Square.

2) Iboenda

Restorang dimiliki oleh pasangan Muslim Indonesia yang sudah menetap di Belanda selama 24 tahun ini menyediakan menu makanan berkonsepkan Jawa Timur seperti Bami Goreng, Sate dan Soto Ayam. Restoran ini juga turut menyediakan hidangan lazim hari raya seperti Redang Daging dan Sayur Lodeh. Selain menyediakan makanan kepada pengunjung yang makan di restoran, ia juga menyediakan perkhidmatan ‘takeaway‘, katering dan menjual barang makanan kering Indonesia.

Restoran yang menyediakan makanan Indonesia ini mempunyai 3 cawangan di seluruh Amsterdam. Salah satu cawangan restoran ini terletak hanya beberapa minit dari Rijkmuseum dan beroperasi setiap hari. Anda boleh ke sini setelah selasai melawat Rijkmuseum dan kawasan sekitarnya.

3) Nyonya Malaysia Restaurant

Kari Laksa
Foto oleh Nyonya Malaysia Restaurant Facebok

Mahukan pilihan masakan Malaysia selain restoran Wau? Usah khuatir kerana terdapat satu lagi restoran Malaysia di bandar raya ini. Restoran ini menyediakan masakan Peranakan Malaysia seperti Laksa, Nasi Ayam, Char Kuey Teow dan banyak lagi. Restoran ini terletak 10 minit dari Amsterdam Central Station.

Roti Canai dan Teh Tarik
Foto oleh Nyonya Malaysia Restaurant Facebook

Lebih menarik kerana restoran ini turut menyediakan makanan popular iaitu roti canai dan teh tarik yang sinonim dengan orang Malaysia. Anda sudah tidak perlu tunggu pulang ke Malaysia untuk menikmati makanan ini!

4) Monopoly Burger

Foto oleh Monopoly Burger

Teringin untuk mencuba burger halal di Amsterdam? Ini ialah pilihan anda. Restoran yang terletak di Jalan Kinkerstraat di bahagian barat Amsterdam ini menyediakan hidangan burger yang enak dan halal.

Monopoly Burger
Foto oleh Monopoly Burger Instagram

Tidak sah jika ke sini tanpa merasai burger Monopoly yang dibuat menggunakan 200g daging yang diletakkan diatas ban brioche dan dilimpahi sos keju cheddar yang lazat. Antara menu istimewa lain ialah Nacho Man, kepingan kerepek yang dilimpahi dengan tomato, bawang merah, jeruk, buah zaitun, jalapeno, sos rahsia monopoly dan sos keju cheddar.

The Nacho Man, Nacho Locos & Hot Doggy Dog
Foto oleh Uber Eats

5) Maximus Steakhouse

Foto oleh Diego Alonso Design

Restoran yang terletak di tengah bandar Amsterdam ini menjadi pilihan bagi pengunjung yang menginginkan ‘steak‘ yang halal. Makanan yang disediakan mempunyai rasa yang berlainan kerana mereka menggunakan pemanggang arang tradisional. Restoran ini boleh memuatkan seramai 100 orang dan dibuka setiap hari untuk pengunjung yang mencari menu masakan ‘Authentic American Grill‘. Lebih menarik lagi, restoran ini terletak bersebelahan dengan Hard Rock Cafe.

Spare Ribs
Foto oleh Have Halal Will Travel

Di Maximus Steakhouse, anda akan mendapat pelbagai jenis masakan. Antara menu yang popular ialah ‘steak T-bone’ yang enak, ikan salmon panggang yang lazat dan pelbagai sup yang lazat yang didatangi dengan salad menjadi pilihan mereka yang mahukan sesuatu yang lazat untuk mengisi kekosongan perut!

Sirloin Steak
Foto oleh Have Halal Will Travel

6) Halal Fried Chicken

Foto oleh SuhaizadSan

Anda mahu mencuba makanan segera di Eropah? Terdapat satu francais makanan segera seperti KFC yang dipanggil Halal Fried Chicken atau HFC. Francais ini ialah francais halal pertama di seluruh Belanda dan telah mempunya 6 cawangan di seluruh negara. Sejak 2014, HFC telah menyediakan produk yang berkualiti tinggi dengan menggunakan bahan yang segar.

Foto oleh Easy Uni

Seperti di KFC, anda boleh dapatkan ayam goreng, burger ayam, kepak ayam pedas dan banyak lagi dari senarai menu yang disediakan. Kerak ayam yang rangup dan daging yang berjus menjadi sebab mengapa anda perlu ke sini jika ingin mencuba makanan segera versi Dutch.

Itulah dia senarai 6 restoran halal di Amsterdam jika anda merancang untuk melancong ke Amsterdam. Jemput juga baca artikel tulisan kami yang lain. Semoga bermanfaat buat anda.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: