Gunung yang tertinggi di Jepun mempunyai ketinggian 3,776 meter ini telah lama dikenali sebagai ikon Jepun di mata pelancong dari seluruh dunia. Keindahan Gunung Fuji ini membuat jutaan pengunjung tempatan dan dari luar negara ingin melihat keindahan alam semula jadi di negeri matahari terbit ini.
Tidak lengkaplah percutian jika anda sudah sampai di Tokyo tanpa melawat gunung paling terkenal di Jepun ini. Adalah menjadi satu kerugian apabila anda mengambil gambar tanpa Gunung Fuji sebagai latar belakang gambar anda. Jom kita lihat beberapa spot terbaik berlatar belakangkan Gunung fuji jika anda mahukan gambar yang cantik sebagai kenangan percutian anda.
1) Stesen ke – 5 Subaru
Jika anda memandu atau menggunakan pengangkutan bermotor, iniIah stesen yang tertinggi anda dapat jejaki. Ini ialah tempat paling hampir jika anda ingin mengambil gambar berlatarbelakangkan Gunung Fuji tanpa perlu mendaki Gunung Fuji. Stesen ini dibuka sepanjang tahun untuk dilawati oleh semua pengunjung. Stesen hanya ditutup jika kawasan dilitupi salji tebal dan anda boleh ke stesen ke-4 di Gunung Fuji.

2) Tasik Kawaguchi

Terdapat lima tasik yang disekitar Gunung Fuji iaitu Kawaguchi, Motosu, Yamanaka, Shoji dan Saiko. Tasik yang paling terkenal ialah Tasik Kawaguchi yang berlatar belakangkan Gunung Fuji. Di sekitar tasik ini terdapat banyak restoran, kolam air panas (Onsen) dan resort yang menarik untuk anda menginap. Ini membuatkan kawasan Tasik Kawaguchi menjadi pilihan ramai.

3) Gotemba Premium Outlet
Jika anda ingin membeli belah, anda boleh ke Gotemba Premium Outlet yang terletak tidak jauh dari bandar Hakone. Anda boleh membeli belah sambil menikmati permandangan Gunung Fuji diantara deretan butik yang terletak di Premium Outlet ini.

4) Oshino Hakkai
Anda boleh melihat permandangan Gunung Fuji di Oshino Hakkai yang terletak di antara Tasik Kawaguchi dan Yamanaka. Perkampungan yang mempunyai rumah berkonsepkan zaman Edo ini dikelilingi oleh 8 kolam kecil memberikan “vibe” atau suasana yang tenang untuk dinikmati oleh pengunjung.

5) Festival Fuji Shibazakura
Festival bunga ini adalah yang terbaik dan yang paling terkenal di seluruh Jepun. Kawasan yang penuh dengan bunga “Shibazakura” atau dikenali dengan nama “Pink Moss” ini terletak tiga kilometer dari Tasik Motosuko di kawasan Lima Tasik Fuji. Anda boleh nikmati permandangan ini sewaktu festival berlangsung bermula pertengahan April sehingga awal bulan Jun setiap tahun.

6) Fuji Q Highland
Fuji-Q Highland adalah taman hiburan yang terletak di kawasan Fujiyoshida, berhampiran dengan Tasik Kawaguchi. Ia terkenal dengan “roller coaster” dan tarikan yang menarik kerana taman hiburan ini terletak di kaki Gunung Fuji.

Fujiyama ialah “roller coaster” yang menawarkan salah satu pemandangan terbaik di dunia iaitu Gunung Fuji dan merupakan coaster berskala besar yang paling popular di taman ini. Anda hanya mempunyai waktu yang singkat untuk menikmati permandangan sebelum “roller coaster” ini mencapai kelajuan maksimum sepanjang 2 kilometer perjalanan permainan ini.

Itulah dia senarai 6 spot bergambar menarik jika anda merancang untuk melancong ke Gunung Fuji. Jemput juga baca artikel tulisan kami yang lain. Semoga bermanfaat buat anda.